Chalet untuk wakaf pendidikan di Terengganu

Chalet untuk wakaf pendidikan di Terengganu

WAKAF merupakan antara amalan paling berkesan dalam Islam untuk menjamin kelangsungan pahala dan manfaat kepada masyarakat secara berterusan.

Ia bukan sekadar sumbangan kebajikan, tetapi satu bentuk pelaburan akhirat yang membolehkan pewakaf menikmati ganjaran berpanjangan selagi harta itu dimanfaatkan.

Di sisi masyarakat, wakaf berperanan sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi yang menyokong pelbagai sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, keagamaan dan sosial.

Menariknya, manfaat wakaf tidak terhad kepada golongan miskin, sebaliknya boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang agama atau status ekonomi.

Menyedari potensi besar itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melaksanakan pelbagai strategi untuk memperkasa budaya wakaf termasuk melalui pendekatan inovatif dalam pembangunan aset wakaf di negeri tersebut.

Melangkaui konsep tradisional, MAIDAM kini membangunkan projek wakaf bercorak komersial yang hasilnya disalurkan kepada sektor pendidikan di negeri itu.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan 16 unit chalet dan kolam renang di atas tanah wakaf pendidikan seluas lebih 0.4 hektar di Kuala Nerus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Datuk Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, projek bernilai lebih RM6 juta itu dalam proses pembangunan sejak penghujung tahun lalu dan dijangka siap menjelang 2027.

DR AHMAD AZRIN -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

DR AHMAD AZRIN -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Ia selari dengan maksud wakaf pendidikan iaitu apa sahaja manfaat yang ada atas tanah itu mesti kembali semula kepada sektor pendidikan.

“Sebagai contoh, pemberian biasiswa, dermasiswa, tajaan belajar dan seumpamanya,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus di ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Selain MAIDAM, projek itu juga dibiayai sebahagiannya oleh sumbangan orang ramai melalui tabung wakaf khas, sekali gus membuka ruang keterlibatan awam dalam pelaburan sosial berasaskan syariah.

Bulan Wakaf Terengganu

Di samping projek fizikal, MAIDAM giat melaksanakan program kesedaran berskala besar menerusi Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.

DR AHMAD AZRIN (kiri) menjelaskan, MAIDAM giat melaksanakan program kesedaran wakaf melalui pelbagai pendekatan termasuk menerusi aktiviti 'Run & Walk for Waqf'. -Foto: IHSAN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU

DR AHMAD AZRIN (kiri) menjelaskan, MAIDAM giat melaksanakan program kesedaran wakaf melalui pelbagai pendekatan termasuk menerusi aktiviti ‘Run & Walk for Waqf’. -Foto: IHSAN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU

“Tahun lalu, kita anjurkan acara seperti ‘Run & Walk for Waqf’ yang berjaya menarik 1,000 penyertaan. Mereka masuk program ini dan berwakaf menerusi yuran penyertaan yang dikenakan iaitu sebanyak RM50 seorang.

“Pada tahun ini, kita akan adakan lagi aktiviti ini. Program ‘Fun Run & Ride Mental Health for Waqf’ dirancang diadakan pada Oktober nanti. Sasaran penyertaan kali ini adalah berjumlah 1,500 orang.

“Setiap peserta akan mewakafkan kesemua yuran penyertaan mereka. Kita mahu budayakan wakaf dengan cara begini (beriadah sambil berwakaf),” katanya sambil menjelaskan bahawa pelbagai lagi aktiviti lain bakal diadakan bagi bulan wakaf berkenaan.

Dalam pada itu, MAIDAM turut menekankan isu persepsi masyarakat terhadap istilah ‘tanah wakaf terbiar’ yang sering menimbulkan kekeliruan.

Menurut Dr Ahmad Azrin, tidak semua tanah wakaf boleh dibangunkan kerana ada yang kurang berpotensi secara komersial atau sememangnya tidak sesuai dimajukan.

Sebagai langkah pemurnian data dan status tanah wakaf, katanya, Kerajaan Negeri Terengganu sejak tahun 2018 mewartakan satu dasar penting iaitu semua tanah yang terdapat masjid, surau dan kubur hendaklah diwartakan sebagai tanah wakaf dan diurus secara rasmi oleh MAIDAM.

“Kita tidak mahu masyarakat terus salah faham. Bila nampak tanah tak dibangunkan, terus label sebagai terbiar.

“Sedangkan sebahagian besarnya adalah wakaf kubur yang memang tidak boleh dibangunkan,” jelasnya.

Bandar wakaf Islamik

Sebagai langkah jangka panjang, MAIDAM turut merancang pembangunan Bandar Wakaf Islamik di atas dua lot tanah seluas 10.18 hektar di Kuala Terengganu.

Jelas Dr Ahmad Azrin, kombinasi 3.64 hektar aset wakaf bersama baki tanah milik MAIDAM yang berpotensi diwakafkan akan membentuk sebuah bandar dengan sentuhan Islamik.

DR AHMAD AZRIN (lapan, kiri) bersama pemenang cabutan bertuah 'Run & Walk for Waqf 2024'.

DR AHMAD AZRIN (lapan, kiri) bersama pemenang cabutan bertuah ‘Run & Walk for Waqf 2024’.

“Ia lengkap dengan rumah kediaman, apartmen, lot kedai, surau, pusat komuniti, dewan dan pusat rekreasi.

“Kita bukan sekadar mahu membina sebuah kawasan penempatan, tetapi sebuah bandar contoh yang mencerminkan nilai dan gaya hidup Islam, berbeza dengan kawasan lain,” ujarnya.

Projek itu kini berada dalam fasa pemuktamadan komponen, dengan penekanan kepada elemen reka bentuk bandar yang mematuhi nilai-nilai Islam dan mesra komuniti.

Mengulas tentang kutipan zakat di Terengganu, Dr Ahmad Azrin menjelaskan, MAIDAM berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran kutipan sebanyak RM310 juta pada tahun ini.

“Apa yang dibuat tahun lepas, kita akan laksanakan juga ditambah dengan inisiatif baharu yang sedang dilaksanakan untuk mencapai momentum sasaran tersebut,” jelasnya.

Scroll to Top