Adelaide: Jaguh renang Australia, Kyle Chalmers, mengubah haluan kariernya apabila mengumumkan hasrat untuk terus beraksi sehingga Sukan Olimpik Brisbane 2032, didorong oleh penambahan acara 50 meter (m) dalam jadual rasmi Olimpik bermula 2028.
Chalmers, 26, sebelum ini pernah menyatakan bahawa Paris 2024 akan menjadi temasya terakhirnya, namun kini memilih untuk meneruskan cabaran, terutama selepas Akuatik Dunia mengesahkan acara 50m kuak lentang, kuak dada dan kuak kupu-kupu akan diperkenalkan di Los Angeles 2028.
“Format baharu 50 meter ini beri saya semangat untuk terus berenang hingga Brisbane 2032,” kata Chalmers menjelang percubaannya untuk menyertai skuad kejuaraan dunia buat kali kelima pada ujian kelayakan kebangsaan Australia di Adelaide.
Juara 100m gaya bebas Olimpik Rio 2016 itu turut terkenal dalam acara kuak kupu-kupu dan kini berada dalam prestasi terbaik selepas bertukar jurulatih tahun ini.
“Badan saya rasa sangat baik. Saya sudah catat masa yang sangat pantas dan yakin boleh terus bersaing di tahap tertinggi.”
Jika Chalmers berjaya naik podium di Los Angeles kelak, dia akan menjadi lelaki pertama meraih pingat 100m di empat edisi Olimpik berturut-turut.
Pada April lalu, dia mencatat 47.27 saat (s) dalam 100m gaya bebas di Norway, masa keempat terpantas sepanjang kariernya dan kemudian memperbaharui rekod peribadi dengan 21.78s (50m gaya bebas) serta 22.89s (50m kuak kupu-kupu).
Ujian kelayakan Australia berlangsung dari 9 hingga 14 Jun sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Dunia di Singapura, Julai ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd