nurul_husna@mediaprima.com.my
KOMUNITI petani, penternak dan nelayan Perak berpeluang mendapat khidmat nasihat dan bertemu secara langsung agensi berkaitan menerusi Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan.
Menurut EXCO Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, pihaknya melihat pendekatan itu berkesan dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan itu.
“Kami menyasarkan enam program bagi tahun ini membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih dan Chandan menjadi pembukaan bagi 2026.
“Pentingnya penganjuran Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan kerana golongan ini adalah nadi yang menyumbang kepada sekuriti makanan tempatan.
“Memang menyantuni golongan ini menerusi kehadiran agensi penting seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) dan banyak lagi membantu meningkatkan produktiviti petani, penternak serta nelayan,” katanya dalam program yang berlangsung di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Beliau menjelaskan, selain komuniti itu, masyarakat juga menikmati manfaat hasil daripada produk pertanian atau penternakan.
“Di Chandan, kali ini yang juga pembukaan kepada tahun ini, 24 reruai terdiri daripada komuniti itu, agensi dan institusi kewangan turut terbabit.
“Kerajaan juga berpeluang menyalurkan maklumat penting termasuk bantuan dan geran yang dapat dimanfaatkan.
“Selain itu, agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan juga dapat berkongsi teknologi terkini yang membantu meningkatkan produktiviti dan hasil.
“Kami berharap program seperti ini membantu meningkatkan ekonomi negeri, terutama dalam industri pertanian,” katanya.
Pada program dihadiri hampir 3,000 pengunjung itu, Mohd Zolkafly turut menyempurnakan penyerahan pokok kelapa percuma selain sesi sumbangan ‘Back to School’ hasil kerjasama dengan Adun Chandan Datuk Maslin Sham dan DUN Manong.
Ada juga sesi jualan murah membabitkan vendor di bawah unit Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




