Chapman, Jiang juara edisi kedua Malaysia Ultra-Trail UTMB

Chapman, Jiang juara edisi kedua Malaysia Ultra-Trail UTMB

Taiping: Hampir 3,000 pelari dari 58 negara menakluk cabaran hutan hujan tertua dunia dalam edisi kedua Malaysia Ultra-Trail by UTMB (MYUT), sekali gus mengangkat Taiping sebagai pentas larian denai berprestij di rantau ini.

Bersaing dalam enam kategori, acara tahun ini terus mengukuhkan status Malaysia sebagai antara hanya enam negara Asia dalam kalendar Siri Dunia UTMB yang merangkumi lebih 50 perlumbaan global.

Saingan utama MY100 menyaksikan pelari diuji laluan sejauh 96.7 kilometer (km) dengan pendakian setinggi 4,890 meter (m) termasuk dua kali mendaki Bukit Maxwell.

Bermula seawal jam 3 pagi, peserta terpaksa berdepan cuaca lembap waktu malam sebelum diuji panas terik siang hari.

Kemenangan milik pelari Iceland, Kristjan Chapman yang menamatkan cabaran dalam masa 11 jam 39 minit 26 saat, selepas meninggalkan pencabarnya dari China, Xingzhi Bai di pendakian terakhir Angkasa pada kilometer ke-90.

“Perlumbaan ini benar-benar mencabar, saya dan Bai berlari seiring hampir 90km. Di sini (Angkasa) barulah saya mampu membuka jurang. Ia pengalaman luar biasa,” kata Chapman yang mengakui kelembapan tropika memberi kesan besar berbanding suhu -10 darjah di negaranya.

Bai menamatkan saingan di tempat kedua (11:51:51), manakala Kanta Mizutani dari Jepun melengkapkan podium dengan catatan 12:14:56.

Dalam kategori wanita, Wenli Jiang dari China tidak pernah melepaskan kedudukan pendahulu sejak awal sebelum melintasi garisan penamat dengan masa 15:11:33.

Mika Taniguchi (Jepun) di tempat kedua (15:32:41) dan Kit Ying So (Hong Kong) ketiga (16:29:42).

Sementara itu, saingan MY50 sejauh 53.6km turut mencuri tumpuan apabila pelari China menyapu bersih podium lelaki dan wanita.

Liping Wang muncul juara wanita dengan masa 6:08:19, meninggalkan rakan senegara Fuzhao Xiang (6:10:38) dan Xiaoxiao Zhou (6:30:27).

Dalam kategori lelaki, tiga pelari, Tao Luo, Jianjian Yang dan Erqing Wu, hanya dipisahkan di kilometer terakhir.

Luo menamatkan saingan sebagai pemenang (4:56:53), manakala Yang ketinggalan 18 saat dan Wu sekadar satu saat di belakangnya.

Acara turut menampilkan kategori MY25 (26.1km), MY13 (14.1km), MYVK Vertical Kilometre serta MYKIDS, yang memberi peluang kepada pelari pelbagai tahap untuk merasai keunikan denai Taiping meliputi hutan simpan dara, ladang, terowong kereta api era kolonial serta Taman Tasik berusia 150 tahun.

Selain saingan kompetitif, MYUT terus menekankan aspek kelestarian menerusi program penanaman semula pokok RIMBA UTMB di Hutan Simpan Dara serta inisiatif Women in Trail bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai pelari wanita.

Dengan kehadiran atlet elit antarabangsa serta sokongan padu komuniti setempat, Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2025 sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai destinasi larian denai terulung di Asia Tenggara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top