am@hmetro.com.my
Penyanyi Setia Band, Charly Van Houten membuktikan dirinya masih mempunyai pengaruh dan pengikut yang ramai di Malaysia.
Justeru, tidak hairanlah, Konsert Simfoni Karya Terbaik Charly bersama Setia Band di pentas Zepp Kuala Lumpur berjaya menarik kira-kira 2,000 penonton, baru-baru ini.
Konsert berkenaan bagai malam penuh emosi dan mengimbau nostalgia sekali gus meninggalkan kesan mendalam buat penonton.
Rata-rata penonton berasa puas dan terhibur dengan persembahan mantap dan bertenaga daripada Charly yang juga bekas vokalis kumpulan ST12 itu.
Dalam ucapannya, Charly sendiri mengakui sangat gembira kerana dapat kembali mengadakan persembahan di Malaysia yang dianggap seperti negara sendiri.
“I Love You, Malaysia. Saya sangat gembira dapat kembali ke sini dan berasa seperti di negara sendiri kerana teman-teman di Malaysia sentiasa beri sokongan.
“Setiap kali, saya buat konsert di sini, tiket semuanya ‘sold out’ dan terima kasih buat semua yang hadir pada malam ini.
“Semoga semua keluarga besar kami di Malaysia juga bahagia dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang,” katanya dengan mendapat tepukan gemuruh penonton.
Charly memulakan persembahannya dengan lagu Putri Iklan dan disusuli deretan hits yang menaikkan namanya sejak era ST12 sehinggalah bersama Setia Band.
Lagu Puspa turut disampaikan sekali gus membawa nostalgia buat penonton yang mengikuti perjalanan kariernya sejak awal.
Sepanjang konsert yang bermula kira-kira jam 9 malam itu, Charly menyampaikan rangkaian lebih 20 lagu antaranya Cari Pacar Lagi, Asmara, Jangan Ngarep termasuk lagu Isabella dendangan Amy Search.
Selain itu, Aku Masih Sayang, Aku Terjatuh, Jangan Pernah Berubah, Rasa Yang Tertinggal, Istana Bintang, Biarkan Aku Jatuh Cinta, Aku Tak Sanggup Lagi, Kehilangan, Saat Terakhir, Terlalu, Aku Padamu, Jangan Mau Mau dan Puspa.
Penonton terus hanyut terbuai dengan persembahannya hingga akhir sehingga dia mengakhiri konsert dengan lagu Bintang Kehidupan yang dipopularkan oleh Nike Ardilla.
Apa yang menariknya, di tengah-tengah kemeriahan konsert, Charly juga memperkenalkan lagu terbaharunya berjudul Hilang Ingatan.Lagu yang baru dilancarkan pada 15 April lalu turut mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Kehadiran pencipta lagu Hilang Ingatan iaitu Fery Hudaya pada konsert turut menjadi momen istimewa pada malam itu.
Charly turut memperkenalkan orang penting di sebalik lagu Hilang Ingatan itu yang semakin mencuri perhatian ramai.
Sementara itu, dalam temubual bersama media sebelum itu, Charly memberitahu lagu Hilang Ingatan sangat dekat dengan dirinya serta menandakan kemunculan semulanya bersama Setia Band.
“Saya fikir lagu ini sangat dekat dengan diri. Lagunya okay dan bagus kerana saya ingin memberikan sesuatu yang terbaik.
“Ini adalah sebuah karya dan ia adalah identiti yang harus dijaga sebagai seniman,” katanya.
Tidak ketinggalan, persembahan pembukaan dibuat artis tempatan iaitu Wanns Ahmad & Friends yang menyampaikan beberapa lagu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




