Chazynash Dedah Sudah Bercerai Sejak Awal Tahun, Nafi Terkait Isu CEO Batu – “Dalam Hal Ini Saya Yang Bersalah”

Chazynash Dedah Sudah Bercerai Sejak Awal Tahun, Nafi Terkait Isu CEO Batu – “Dalam Hal Ini Saya Yang Bersalah”

Enggan terus membiarkan peminat berteka-teki mengenai status rumah tangganya, pempengaruh media sosial, Chazynash akhirnya tampil memberi penjelasan bahawa dia kini sudah bercerai dengan bekas isterinya, Fatin Morat.

Pendedahan itu dibuat oleh Chazynash sendiri demi mengelakkan sebarang spekulasi liar yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengikutnya.

Kata Chazynash atau nama penuhnya, Syed Fernash Syed Badlishah, dia dan Fatin sah abercerai pada 23 Januari lalu.

Bagaimanapun, dia memaklumkan, hubungan bersama bekas isterinya masih baik demi anak-anak.

“Assalamualaikum kepada semua yang mengenali saya dan juga Fatin Morat.

“Memandangkan cerita semakin meleret dan menimbulkan pelbagai spekulasi, kami terpaksa bersuara agar tak timbul lagi tanda tanya atau salah faham.

“Sebenarnya, kami berniat untuk mendiamkan perkara ini tanpa sebarang hebahan. Biar hanya yang tahu sahaja tahu.

“Namun, untuk mengelakkan jadi makin melalut, kami ingin maklumkan bahawa kami telah berpisah secara baik (divorced) pada 23 Januari 2025.

“Jodoh kami tidak panjang dan kami sepakat untuk membawa haluan masing-masing,” katanya.

Perkara itu dikongsi Chazynash menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Dalam hantaran berkenaan, Chazynash mengakui dia adalah individu yang bersalah dalam kes perceraiannya bersama Fatin.

Sekaligus, menolak dakwaan kononnya punca perceraian mereka ada kena mengena dengan pempengaruh yang dikenali sebagai CEO Batu.

“Dalam hal ini, saya yang bersalah.

“Walaupun sudah berpisah, hubungan kami masih baik demi anak-anak. Saya masih menjaga mereka seperti biasa, cuma kami tak tinggal sebumbung.

“Tiada sebarang pertengkaran atau perebutan hak jagaan. Kami urus semuanya dengan baik.

“Jadi, saya dan Fatin mohon jasa baik semua untuk hentikan penyebaran cerita dan spekulasi yang tah apa-apa.

“Ada yang sampai cakap saya ni ada kena mengena dengan kes CEO Batu. Cukuplah, hormatilah privasi kami. Terima kasih dan minta maaf kepada semua  yang tidak putus memberikan sokongan,” jelasnya.

Sebelum ini, status hubungan rumah tangga Chazynash dan Fatin menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat apabila mereka jarang dilihat bersama, terutamanya dalam kandungan video yang dimuat naik di media sosial.

Scroll to Top