Che Sayang 'direstui'

Che Sayang 'direstui'

najiy.jefri@hmetro.com.my

Penganjuran tahun kedua TikTok Awards Malaysia 2024 menyaksikan kejayaan pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan masakan, Che Sayang Kitchen diangkat sebagai Creator Of The Year.

Kejayaan Che Sayang Kitchen itu disambut baik sebahagian besar pempengaruh TikTok yang merestui Che Sayang atau nama sebenarnya, Qayyum Halid sebagai pemenang kategori utama pada acara yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Che Sayang ketika ditemui selepas kemenangan itu berkata, dia menjadikan pempengaruh Khairul Aming sebagai idolanya sehingga menerima sambutan positif daripada pengikut media sosial.

“Saya meletakkan Khairul Aming sebagai idola. Setiap video Khairul saya tengok dan bila dia laburkan dalam sesuatu, saya pun labur.

“Apa yang Khairul buat, saya buat. Saya pernah katakan kepadanya, saya mengambil inspirasi daripadanya. Saya banyak belajar daripada Khairul sebab dia berjaya.

“Dalam jangka panjang, saya pun mahu hasilkan sesuatu yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat. Malah, saya juga mahu cuba kembangkan kandungan masakan, mungkin ke arah ‘lifestyle’ atau ‘travel’,” katanya.

Menurut Che Sayang, dia amat terharu dengan sokongan pengikutnya yang tidak pernah jemu menyokong dan menghargai kerja kerasnya selama ini.

“Saya seakan-akan tidak percaya apabila nama saya diumumkan sebab nak mengatasi pencipta kandungan yang berjaya di Malaysia adalah mustahil. Tapi, ia benar-benar berlaku, Alhamdulillah.

“Sebelum ini, saya berniaga banyak benda, tapi tak berhasil. Pada tahun lalu, saya tekad mahu buat kemunculan semula dan tak boleh putus asa.

“Sebab itu saya muat naik video boleh dikatakan setiap hari. Betul orang cakap kalau kita boleh bermimpi, kita perlu kerja keras untuk capai mimpi yang diingini,” katanya.

Menerusi kategori utama itu, Che Sayang menewaskan beberapa nama hebat seperti Sofyank, Ryan Bakery, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra.

Dalam pada itu, kategori lain yang mencuri perhatian pada acara anugerah itu adalah kategori Celebrity Of The Year yang diungguli oleh Bella Astillah.

Berjaya mengetepikan calon lain seperti Nabila Razali, Hairul Azreen, Amsyar Lee, Siti Khadijah Halim dan Meerqeen, Bella menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya.

“Saya perlu berterima kasih kepada adik, Didi Astillah yang banyak beri idea untuk cipta kandungan ikut trend sejak mula aktif pada 2018.

“Saya percaya dengan apa yang berlaku dalam hidup saya sehingga sekarang, sedikit sebanyak perkara itu mendapat perhatian ramai.

“Terima kasih kerana mendoakan saya serta mengambil berat mengenai saya dan anak-anak. Apa pun, saya sendiri tak sangka saya boleh menang kategori ini,” katanya.

Sementara itu, pasangan kembar yang juga pempengaruh yang dikenali sebagai Amin & Abid meluahkan rasa syukur selepas memenangi kategori Education Creator Of The Year.

“Sejujurnya kami tak sangka boleh memenangi trofi ini. Bila dapat anugerah kategori ini, sedikit sebanyak kami boleh buktikan bahawa pelajar di kelas belakang seperti kami ini boleh berjaya.

“Berada di kelas bawah juga bukan satu titik kegagalan, tetapi jika kita rajin berusaha, Insya-Allah kejayaan akan datang,” katanya.

Menariknya mengenai penganjuran anugerah itu, TikTok memperkenalkan anugerah istimewa iaitu Changemaker Of The Year yang diberikan kepada Brader Wheelchair dan Lokohopunohgroup.

Akaun Brader Wheelchair diusahakan oleh orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Nur Izhar Idham, 38, bagi memberi kesedaran dan mengajar orang ramai mengenai kepentingan kemudahan OKU di Malaysia yang masih banyak disalahgunakan hingga hari ini.

Lokohopunohgroup atau nama singkatannya, LKP pula dikendalikan oleh pemuda dan pemilik badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Uzair Emir. Ia ditubuhkan pada September tahun lalu, khususnya mendidik dan mengajak orang ramai dalam menjaga kebersihan dan perkara berkaitan alam sekitar.

Anugerah istimewa itu bertujuan mengetengahkan dan memberi sokongan kepada pencipta kandungan yang berani mencipta impian.

Bagi kategori pilihan popular, TikTok Live Creator Of The Year dimenangi oleh Acap S atau Asraf Jaafar, Video Of The Year (Agy Official), TikTok Shop Creator Of The Year (Pinn Yang).

Bagi kategori pilihan juri iaitu Entertainment Creator Of The Year dimenangi oleh Kanafly, Animation Creator Of The Year (Yimotapir), Gaming Creator Of The Year (Kingshahx), Sports Creator Of The Year (Amaranas), Food Creator Of The Year (Tang Guo Shop), Education Creator Of The Year (Aminxabid) dan Beauty and Fashion Of The Year (Aishah Rahim).

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

TikTok Awards Malaysia 2024 menampilkan Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara utama, manakala Ain Edruce dan Ceddy Ang menggalas tanggungjawab sebagai hos karpet merah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top