Chegubard ditahan isu video tular berbaur hasutan di TikTok

Chegubard ditahan isu video tular berbaur hasutan di TikTok

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua BERSATU Port Dickson, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan membabitkan video tular ceramah berunsur hasutan dan dakwaan tidak berasas berhubung institusi Diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya mengesan satu hantaran oleh akaun TikTok Edume @4mrankiamat memaparkan lelaki dikenali sebagai Chegu Bard sedang menyampaikan ceramah berunsur hasutan, Kelmarin.

Menurutnya, susulan itu siasatan berhubung penularan video berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.

“Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai sebagai penceramah dalam video berkenaan bagi membantu siasatan pada 10.25 malam, semalam.

“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga boleh menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top