Chelsea adakan mesyuarat tergempar bincang masa depan Maresca

Chelsea adakan mesyuarat tergempar bincang masa depan Maresca

London: Pengurusan tertinggi Chelsea dijadual mengadakan pertemuan hari ini bagi menentukan masa depan Enzo Maresca sebagai ketua jurulatih.

Masa depan pengendali dari Itali itu di Stamford Bridge dilihat semakin suram susulan keretakan hubungan antara beliau dan hierarki pengurusan kelab.

Pembuat keputusan Chelsea akan mengadakan perbincangan tergempar hari ini untuk menentukan sama ada Maresca wajar dikekalkan dalam jawatan itu.

Maresca sebelum ini sudah berada dalam tekanan selepas melalui bulan Disember yang mengecewakan apabila Chelsea hanya mencatat dua kemenangan daripada lapan perlawanan.

Kedudukannya menjadi tanda tanya sejak beberapa minggu lalu susulan pertelagahan dengan pihak pengurusan kelab.

Situasi itu tercetus selepas kenyataannya mengenai ’48 jam paling buruk’ sepanjang memegang jawatan berkenaan, walaupun Chelsea mencatat kemenangan ke atas Everton pada 13 Disember lalu.

Bekas pengurus Leicester City itu, yang terikat kontrak bersama Chelsea sehingga 2029 dengan pilihan lanjutan setahun, dilaporkan bersedia untuk melepaskan jawatannya seperti didedahkan SunSport.

Perkembangan itu hadir selepas Maresca menyatakan dia ‘pasti’ akan kekal bersama kelab musim depan, susulan laporan yang mengaitkannya sebagai calon pengganti Pep Guardiola di Manchester City.

Selepas terikat seri 2-2 dengan Bournemouth, semalam, pengendali Chelsea itu tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan dengan alasan tidak sihat.

Keadaan itu menyaksikan penolong jurulatih, Willy Caballero, terpaksa mengambil alih tugas berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top