London: Chelsea bersetuju dengan perjanjian untuk menandatangani pemain sayap England, Jamie Gittens dari Borussia Dortmund, menurut kelab Bundesliga itu, semalam.
Pemain berusia 20 tahun itu dijangka menandatangani kontrak selama tujuh tahun dalam perpindahan yang dilaporkan bernilai £55 juta (RM317 juta).
Kedua-dua kelab kini berada di Amerika Syarikat bagi saingan Piala Dunia Kelab menyaksikan mereka mara ke peringkat suku akhir. Perjanjian dimeterai di Fort Lauderdale, namun butiran kontrak masih dalam proses perbincangan.
Gittens menyertai Dortmund sebagai pemain muda pada 2020 dari Manchester City dan membuat penampilan senior pertamanya pada 2022. Sejak itu, dia membuat 107 penampilan bersama kelab Jerman itu dalam semua pertandingan dan menjaringkan 17 gol.
“Kerjaya Jamie Gittens adalah contoh jelas bagaimana kami membangunkan bakat-bakat muda di Borussia,” kata pengarah urusan Dortmund, Lars Ricken, dalam satu kenyataan kelab.
“Kami menemui Jamie pada usia sangat muda, menandatanganinya hampir secara percuma, membangunkan bakatnya secara konsisten di pusat pembangunan remaja kami, dan memberinya peluang beraksi di peringkat tertinggi bersama pasukan utama.
“Jamie telah membalas kepercayaan itu dengan komitmen, prestasi dan jaringan.”
Chelsea kini sedang mencari kekuatan tambahan di bahagian sayap kiri selepas mereka memilih untuk tidak menjadikan pinjaman Jadon Sancho dari Manchester United sebagai perpindahan tetap.
© New Straits Times Press (M) Bhd