London: Chelsea mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak £262.4 juta (RM1.66 bilion) bagi musim 2024-25, sekali gus menjadi jumlah kerugian tahunan terbesar dalam sejarah bola sepak England.
Angka itu mengatasi rekod lama milik Manchester City yang mencatat kerugian £194.9 juta (RM1 bilion) pada musim 2010-11.
Ironinya, kerugian besar itu berlaku walaupun pendapatan Chelsea meningkat kepada £490.9 juta (RM3.11 bilion), didorong oleh peningkatan hasil siaran Liga Perdana Inggeris serta penyertaan dalam kejohanan Eropah.
Prestasi di atas padang juga tidak mengecewakan apabila Chelsea menamatkan saingan di tangga keempat liga dan menjulang trofi Liga Konferens
Sebelum ini, Chelsea pernah mencatat keuntungan £128.4 juta (RM813 juta) bagi musim 2023-24 selepas menjual pasukan wanita kepada syarikat induk mereka, BlueCo.
Bagaimanapun, peningkatan kos operasi dikenal pasti sebagai punca utama kerugian musim lalu.
Menurut kenyataan kelab, perbelanjaan meningkat ketara terutama kos hari perlawanan susulan penyertaan semula dalam saingan Eropah.
Chelsea turut menjelaskan peningkatan pendapatan disumbang oleh penyertaan dalam Piala Dunia Kelab yang mereka menangi pada Julai lalu.
Namun secara keseluruhan, peningkatan kos mengatasi pertambahan hasil, sekali gus menyaksikan kelab London itu terus berdepan tekanan kewangan walaupun berjaya di atas padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




