Chelsea dikejutkan Leeds di Elland Road

Chelsea dikejutkan Leeds di Elland Road

Leeds: Harapan Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima tamparan hebat selepas tewas 1-3 di tangan Leeds United, awal pagi tadi yang turut membawa pasukan tuan rumah keluar dari zon penyingkiran.

Leeds hadir selepas empat kekalahan berturut-turut manakala Chelsea sedang dalam rentak tiga kemenangan dalam empat perlawanan liga tanpa kalah, namun situasi di Elland Road bertukar memihak tuan rumah untuk melegakan tekanan ke atas pengurus mereka, Daniel Farke.

“Kami begitu bersemangat untuk mengembalikan kelab ini ke tahap tertinggi, dan Elland Road malam ini kembali ke prestasi terbaiknya,” kata Farke.

Chelsea kekal dengan 24 mata dan jatuh ke tangga keempat, tiga mata di belakang Aston Villa yang berada di tempat ketiga selepas menang 4-3 ke atas Brighton & Hove Albion, serta sembilan mata di belakang pendahulu Arsenal selepas kemenangan 2-0 ke atas Brentford. Leeds kini berada di tangga ke-17 dengan 14 mata.

Chelsea jelas tampak longlai dalam permainan mereka dan terpaksa membayar harga yang tinggi apabila keputusan Enzo Maresca untuk membuat lima perubahan daripada kesebelasan utama perlawanan 1-1 dengan Arsenal Ahad lalu gagal memberi impak positif.

Leeds memanfaatkan kelemahan itu seawal minit keenam menerusi jaringan Jaka Bijol yang menanduk masuk hantaran sudut Anton Stach.

Kesilapan demi kesilapan terus menghantui Chelsea dan dua minit sebelum rehat, Enzo Fernandez kehilangan bola di kawasan sendiri, membuka ruang buat Jayden Bogle mencipta peluang yang disempurnakan Ao Tanaka menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti.

“Prestasi luar biasa daripada anak-anak buah saya, satu persembahan hebat menentang salah satu pasukan terbaik dunia.

“Mereka menang Piala Dunia Kelab pada musim panas, antara pencabar gelaran EPL dan untuk menang dengan cara ini, saya katakan memang layak berdasarkan peluang, gol dijangka, jumlah percubaan dan percubaan tepat sasaran,” tambah Farke.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top