Chelsea 'pening kepala' masalah logistik

Chelsea 'pening kepala' masalah logistik

Charlotte: Chelsea berdepan masalah logistik selepas hanya menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan D Piala Dunia Kelab, sekali gus memaksa mereka berpindah ke Charlotte bagi aksi pusingan 16 terakhir menentang Benfica, awal pagi esok.

Menurut sumber kelab kepada Reuters, semua persiapan perjalanan, penginapan dan latihan dibuat dengan andaian mereka akan menjuarai kumpulan dan beraksi di Stadium Hard Rock, Miami bagi aksi kalah mati.

Namun kekalahan 1-3 kepada Flamengo dari Brazil dan kemenangan 3-0 ke atas Esperance Tunis dalam aksi terakhir di Philadelphia hanya cukup untuk meletakkan kelab London Barat itu di tempat kedua kumpulan.

Akibatnya, skuad kendalian Enzo Maresca terpaksa mengubah rancangan di saat akhir untuk beraksi di Stadium Bank of America, Charlotte, menentang Benfica, dengan kelab tetap bercadang kembali ke Miami selepas perlawanan, menambah lagi jarak perjalanan dalam jadual yang sudah pun padat.

Sekiranya Chelsea berjaya melepasi halangan Benfica, mereka dijadualkan kembali ke Lincoln Financial Field di Philadelphia untuk aksi suku akhir menentang pemenang pertembungan sesama wakil Brazil, Palmeiras dan Botafogo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top