London: Enzo Maresca mahukan Chelsea mengeksploitasi kerapuhan Tottenham tengah malam esok namun bos The Blues itu memberitahu pemainnya supaya tidak mengulangi apa yang dilakukannya semasa pertembungan musuh tetangga Turin pada Februari 2002.
Maresca bercerita panjang lebar mengenai pertemuan klasik 2-2 yang mana beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 buat Juventus di gelanggang musuh tetangga mereka Torino.
Pengurus dari Itali itu mencetus adegan huru-haru apabila beliau melakukan sambutan tanduk lembu sambil mengamuk di sekeliling padang, merujuk kepada simbol lencana lawan mereka.
Ia satu detik yang tercatat dalam sejarah bola sepak Itali dan sekalipun Maresca mahu Chelsea mengambil kesempatan berikutan masalah dihadapi Ange Postecoglou, beliau meminta pemainnya mempamerkan disiplin lebih baik berbanding dirinya lebih dua dekad lalu.
“Kami akan cuba sentiasa mengeksploitasi keadaan,” kata Maresca mengenai pertemuan dengan Spurs, yang menggunakan Ben Davies sebagai pertahanan tengah ketika kalah 1-0 di Bournemouth awal pagi semalam.
“Saya fikir (Cristian) Romero boleh kembali, jadi Romero mungkin jadi penyelesaian mereka ketika ini, tetapi kami akan lihat. Kami bersedia bagi perlawanan itu memikirkan ia satu perlawanan besar. Ia pertembungan musuh tetangga, ia menentang Tottenham.”
Mengenai jaringan penyamaannya bersama Juventus 22 tahun lalu, beliau berkata: “Ia sudah terlalu lama. Detik itu adalah detik terakhir pertembungan musuh tetangga itu. Ia satu perlawanan yang bagus, agak hangat. Setiap pemain menghangatkan saingan, detik itu dalam cara berbeza. Saya tidak tahu jika mereka mahukan perkara sebegitu, tetapi mereka sedar ia satu perlawanan penting. Saya tidak tahu jika mereka memerlukan sesuatu yang lebih.
“Hari ini, dalam bola sepak, saya tahu kami mempunyai ramai pemain Inggeris tetapi kebanyakan mereka hadir dari jauh, mereka mungkin tidak menyedari kepentingan pertembungan musuh tetangga. Satu-satunya perkara yang kami cuba pastikan setiap perlawanan mereka fokus dan memberikan segala-galanya. Kami tidak mengubah cara kami mahu bertindak agresif bergantung kepada pasukan lain.
“Harapnya kami boleh memberikan penyokong kami hari besar, kemenangan daripadanya. Kami bersedia bagi perlawanan ini memikirkan ia besar. Kerana pertama sekali ia satu pertembungan musuh tetangga, ia Tottenham. Tetapi akhirnya, tiga mata menentang Southampton, tiga mata menentang Aston Villa, tiga mata menentang Tottenham, matanya tetap sama.”
Maresca berkata Moises Caicedo boleh meneruskan persembahan baiknya di Tottenham, berkata pemain tengah Chelsea itu berhak dibandingkan dengan Rodri dan Declan Rice.
“Sudah pasti dia kini berada di tahap itu,” kata Maresca.
“Tidak diragui lagi. Malangnya Rodri cedera tetapi Declan beraksi. Namun Moises boleh duduk semeja dengan pemain tengah sebegitu.”
Maresca turut yakin mereka boleh melakukan sentuhan pemusnah dan menegaskan mereka tidak patut lagi dipanggil sebagai ‘Cole Palmer FC’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




