New York: Bagi Chelsea, kemenangan pada final Piala Dunia Kelab, semalam melengkapkan musim pertama yang cemerlang di bawah kendalian Enzo Maresca sekali gus menutup tirai satu kempen amat panjang yang mereka harapkan tidak akan memakan diri kemudian hari.
Kemenangan 3-0 ke atas Paris Saint-Germain yang diilhamkan oleh Cole Palmer di Stadium MetLife, berhampiran New York, adalah perlawanan ke-64 Chelsea dalam musim yang berlangsung selama 11 bulan.
Ia salah satu kempen terbaik Chelsea dalam sejarah mereka. Kejuaraan Piala Dunia Kelab yang Maresca samakan dengan menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) hadir selepas kemenangan dalam Liga Konferens UEFA dan tempat keempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Maresca, bekas penolong jurulatih Pep Guardiola di Manchester City, hampir tidak boleh meminta lebih selepas tiba ke Stamford Bridge dengan reputasi membawa Leicester City naik ke EPL.
“Ia musim luar biasa, tetapi saya paling gembira untuk pemain,” kata jurulatih dari Itali itu, yang berjaya membentuk satu pasukan padu daripada barisan pemain baharu yang silih berganti dibawa masuk pemilik kelab.
“Kita banyak kali menyatakan bakat semata-mata tidak mencukupi. Anda perlu mencari cara untuk menyatukan mereka.”
Ia satu kemajuan besar berbanding dua tahun lalu, ketika Chelsea menamatkan musim di bahagian bawah EPL.
Maresca turut menyerap lebih ramai muka baharu sepanjang kempen Piala Dunia Kelab, termasuk Joao Pedro yang memberi impak luar biasa.
Penyerang Brazil itu memendekkan cuti bagi melengkapkan perpindahan £60 juta dari Brighton & Hove Albion, sebelum menjaringkan dua gol pada separuh akhir menentang Fluminense dan satu lagi dalam perlawanan akhir.
Liam Delap, Dario Essugo, Mamadou Sarr dan Andrey Santos turut menyertai kem latihan di Amerika Syarikat, sementara Jamie Gittens tiba dari Borussia Dortmund dan pemain sayap Estevão Willian menyertai dari Palmeiras, Brazil.
Chelsea kini berharap gabungan pemain baharu itu, ditambah dengan bintang sedia ada seperti Palmer, Enzo Fernandez dan Moises Caicedo, mampu memberi cabaran sebenar untuk kejuaraan EPL selepas kejayaan mereka di kejohanan anjuran FIFA itu.
“Ia satu pernyataan besar,” kata kapten Reece James kepada media Inggeris sejurus selepas menjulang trofi bersama Presiden AS, Donald Trump.
“Saya bangga dengan kemajuan kelab ini capai, dan musim depan kami pasti akan bersaing di EPL untuk merebut kejuaraan, serta melangkah jauh dalam Liga Juara-Juara juga.”
Chelsea juga membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$115 juta hasil kemenangan di Piala Dunia Kelab, satu jumlah menakjubkan. Namun persoalannya, adakah beban musim ini akan memberi kesan kepada mereka dalam musim 2025/26?
Ketika Chelsea bersaing dalam cuaca mencabar di kejohanan ini, juara EPL Liverpool dan naib juara Arsenal menikmati rehat pra-musim yang lebih panjang.
Manchester City juga turut serta di Piala Dunia Kelab, tetapi mereka tersingkir lebih awal lebih seminggu sebelum perlawanan akhir.
Kesatuan pemain antarabangsa, FIFPro, antara suara paling lantang menyuarakan kebimbangan terhadap beban fizikal ke atas bintang-bintang bola sepak dalam kalendar yang semakin padat.
Salah satu cadangan mereka sebelum kejohanan itu ialah menetapkan sekurang-kurangnya empat minggu rehat luar musim dan empat minggu tempoh pemulihan sebelum kembali bersaing.
Rehat luar musim Chelsea sangat singkat dengan perlawanan pertama mereka dalam kempen EPL akan menentang Crystal Palace pada 17 Ogos, hanya lima minggu selepas final Piala Dunia Kelab. Mereka juga dijadualkan beraksi satu perlawanan persahabatan menentang Bayer Leverkusen pada 8 Ogos.
“Mulai esok saya hanya ada tiga minggu cuti, dan itu sahaja yang saya mahukan sekarang kerana saya belum berhenti selama 15 bulan,” kata Maresca, semalam.
Belum dapat dipastikan sama ada Maresca dan pasukannya akan kembali cukup segar sebelum mengharungi musim yang mereka harap akan membawa kejayaan dalam Liga Juara-Juara, musim yang juga bakal berakhir dengan Piala Dunia di Amerika Utara.
PSG pula berdepan jadual lebih padat selepas kempen bersejarah di bawah kendalian Luis Enrique, yang ditutup dengan kejuaraan Liga Juara-Juara.
Perlawanan kompetitif pertama mereka musim depan ialah Piala Super UEFA menentang Tottenham Hotspur di Itali pada 13 Ogos tepat sebulan selepas kekalahan mereka di New York.
© New Straits Times Press (M) Bhd