
Alejandro Garnacho menyertai sesi latihan Chelsea di Cobham. Foto Chelsea FC
CHELSEA kini memasuki tempoh paling getir musim ini apabila bakal mengharungi rangkaian perlawanan sukar bermula dengan kunjungan ke gelanggang seteru kota London, Arsenal tengah malam ini dalam usaha memburu kedudukan lima terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).
Anak buah Liam Rosenior sebelum ini memulakan kempen dengan langkah meyakinkan menerusi kemenangan ke atas Brentford, Pafos, Crystal Palace dan Wolves, selain kejayaan penting di gelanggang Napoli serta menundukkan West Ham di laman sendiri.
Namun keputusan seri berturut-turut menentang Leeds dan Burnley selepas gagal mempertahankan kelebihan di Stamford Bridge mengubah landskap persaingan, sekali gus meletakkan tekanan besar ke atas The Blues.
Ketika ini, Chelsea hanya mengatasi Liverpool menerusi perbezaan jaringan dan berdepan jadual yang dianggap paling mencabar dalam kalangan pasukan yang bersaing merebut slot Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Selepas aksi di Emirates, The Blues akan bertandang ke Aston Villa sebelum menerima kunjungan Manchester City dan Manchester United secara berturut-turut pada pertengahan April.
Cabaran lebih sukar menanti apabila perlu ke Anfield pada 9 Mei.
Dalam masa sama, Chelsea turut mengharungi aksi kalah mati UCL serta kempen Piala FA, situasi yang menuntut pengurusan skuad lebih rapi.
Model ramalan Opta menjangkakan Chelsea menamatkan saingan di tangga keenam, satu kemunduran berbanding kedudukan keempat musim lalu.
Kegagalan menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik bakal memberi kesan kepada perancangan kewangan dan perpindahan pemain musim panas.
Rosenior mengakui pasukannya perlu lebih tajam dan konsisten, terutama ketika berdepan Arsenal yang turut memburu kemenangan bagi mengukuhkan cabaran kejuaraan.
Chelsea juga perlu memperkemaskan disiplin selepas mengumpul lapan kad merah musim ini.
Ketiadaan Wesley Fofana akibat penggantungan, selain Marc Cucurella yang cedera dan Estevao yang masih diragui, menambah cabaran buat skuad London Barat itu.
Bagi Rosenior, tempoh ini akan menentukan hala tuju musim mereka sama ada terus kekal dalam landasan UCL atau terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di luar kelompok elit.
Ringkasan AI
- Chelsea bakal mengharungi rangkaian perlawanan sukar termasuk lawan Arsenal, Aston Villa, Manchester City, dan Manchester United
- Anak buah Liam Rosenior sebelum ini mencatat kemenangan ke atas Brentford, Pafos, Crystal Palace, Wolves, Napoli, dan West Ham tetapi seri dengan Leeds dan Burnley
- Chelsea berada dalam tekanan untuk merebut slot Liga Juara-Juara musim depan dengan hanya mengatasi Liverpool melalui perbezaan jaringan
- Skuad itu juga menghadapi cabaran di Liga Juara-Juara dan Piala FA
- Ketiadaan Wesley Fofana, Marc Cucurella yang cedera dan Estevao yang masih diragui menambah cabaran buat Chelsea



