Chelsea tidak akan menyenaraikan Jackson- Maresca

Chelsea tidak akan menyenaraikan Jackson- Maresca

London: Chelsea tidak akan menurunkan penyerangnya, Nicolas Jackson menentang West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris, Jumaat ini meskipun pemain itu bersedia untuk bermain.

Pengendali The Blues, Enzo Maresca mengesahkan, Jackson, 24, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Aston Villa bagi menyertai semula bekas jurulatihnya di Villarreal, Unai Emery tidak akan berada dalam pasukan.

“Dia bersedia, tetapi tidak akan disenaraikan. Kami sudah ada dua penyerang pada posisi itu dan kami juga tahu sesuatu boleh berlaku sebelum jendela perpindahan ditutup,” kata Maresca.

Maresca turut memaklumkan situasi serupa dialami penyerang Perancis, Christopher Nkunku yang dilaporkan menjadi sasaran Bayern Munich dan RB Leipzig.

Kedua-dua mereka dilihat semakin tersisih selepas Chelsea membawa masuk Joao Pedro dan Liam Delap pada musim panas ini.

Selain itu, Raheem Sterling dan Ben Chilwell dilaporkan berlatih secara berasingan sambil menunggu “penyelesaian” masa depan mereka.

Dalam masa sama, Chelsea berdepan masalah di benteng pertahanan apabila Levi Colwill berisiko terlepas aksi sepanjang musim ini akibat kecederaan ACL.

Chelsea, juara Piala Dunia Kelab memulakan musim dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace minggu lalu, manakala West Ham tewas 0-3 kepada Sunderland yang baru naik ke Liga Perdana.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top