Chelsea tidak berkompromi terhadap Fernandez

Chelsea tidak berkompromi terhadap Fernandez

London: Chelsea mengambil tindakan tegas terhadap Enzo Fernandez selepas pemain itu mencetuskan kontroversi mengenai masa depannya di Stamford Bridge.

Pengurus Liam Rosenior mengesahkan pemain tengah Argentina itu sudah memohon maaf selepas kenyataannya ketika rehat aksi antarabangsa yang membayangkan minat untuk berpindah ke Real Madrid.

Fernandez, yang masih mempunyai kontrak hingga 2032, digugurkan daripada skuad dalam aksi Piala FA dan perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City sebagai tindakan disiplin.

“Saya sudah berbincang beberapa kali dengannya. Dia sudah meminta maaf kepada saya dan kelab, tetapi ini perkara serius dan kami sudah mengambil keputusan,” kata Rosenior.

Beliau menegaskan hukuman itu akan kekal walaupun pemain berusia 25 tahun itu sudah memohon maaf, namun percaya Fernandez mampu bangkit dan kembali memainkan peranan penting dalam pasukan.

Dalam masa sama, Rosenior menegaskan keputusan menggugurkan pemain itu bukan satu kelemahan, sebaliknya penting untuk menjaga nilai dan budaya pasukan dalam usaha memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top