Cheng Hoe, Ketua Jurulatih baharu Selangor FC

SHAH ALAM –  Selangor FC mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih baharu “The Red Giant” hari ini bagi memberikan ruang kepada beliau melakukan persiapan awal dan perancangan bagi menghadapi musim hadapan.

Berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau, Selangor FC percaya Cheng Hoe merupakan calon terbaik untuk membawa pasukan Gergasi Merah ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan, kata kelab itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Di bawah bimbingannya, pasukan Malaysia telah berjaya menjadi Naib Juara Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2018 di samping mempamerkan antara persembahan terbaik skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022,” katanya.

Cheng Hoe, 54 merupakan pengendali Skuad Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021.

Selain itu, Cheng Hoe pernah mengecapi beberapa kejayaan sepanjang karier kejurulatihan beliau seperti ketika bersama pasukan Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 dan merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

Cheng Hoe dalam kenyataan yang sama berkata, beliau berbesar hati untuk menabur bakti kepada pasukan itu yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti.

“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan selain saya juga perlu memahami setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri,” katanya.

Selangor FC turut mengumumkan pelantikan penasihat teknikal pasukan utama yang bakal digalas oleh bekas pemain dan juga seorang legenda Gergasi Merah, K. Sanbagamaran dan akan membuat pengumuman berkenaan pelantikan pengarah sukan dan pengarah teknikal dalam masa terdekat.

“Selangor FC ingin mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil yang telah mengemudi pasukan sebagai Ketua Jurulatih Interim sepanjang tempoh kekosongan ini, dan beliau kini akan kembali memegang jawatan sebagai Penolong Jurulatih kepada Cheng Hoe,” kata kelab itu. – Bernama