lizamridzuan@hmetro.com.my
SETIAP minggu kita dihidangkan dengan pelbagai model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu dan terkini kemunculan model Chery Tiggo Cross yang didatangkan dengan dua varian iaitu 1.5L Turbo dan 1.5L Hibrid CSH.
Vroom berpeluang memandu uji varian hibrid baru-baru ini dengan ciri padanan gaya moden, teknologi terkini serta ciri pemanduan yang lebih mesra alam.
Dari luar, Tiggo Cross HEV tampil rekaan sentuhan futuristik dengan gril hadapan lebar serta corak mesh krom memberikan wajah garang manakala lampu utama LED nipis menambah imej premium.
Ciri lengkungan pada badan kenderaan yang kemas pada sisi dan padanan rim aloi 17 inci menonjolkan karakter sporty yang sesuai untuk kenderaan gaya urban.
Bahagian belakang pula lebih ringkas, tetapi elegan dengan lampu kombinasi LED berbentuk bar melintang, menyerlahkan identiti moden yang dilengkpai spoiler kecil di atas pintu but bukan sekadar hiasan malah juga membantu aspek aerodinamik.
Masuk ke dalam, ruang kabin Tiggo Cross HEV terasa luas dan moden dengan paparan digital bersaiz 12.3 inci menjadi pusat kawalan utama, manakala kemasan kulit lembut pada papan pemuka dan kerusi menambah nilai premium.
Susun atur butang yang minimalis menjadikan suasana lebih kemas dan kontemporari termasuk ciri pendingin hawa serta konsol tengah direka tinggi dengan ruang simpanan pelbagai fungsi.
Tempat duduk belakang menawarkan ruang kaki yang memuaskan, sesuai untuk perjalanan jauh bersama keluarga selain kapasiti but 350 liter juga agak luas, memudahkan pemilik membawa barang keperluan harian atau beg besar.
Tiggo Cross ini juga lengkap dengan sistem infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto selain ciri keselamatan turut diperkasa melalui 16 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) termasuk amaran keluar lorong, kawalan peluncuran adaptif, brek kecemasan autonomi dan pemantauan titik buta serta tujuh beg keselamatan.
Nadi kepada model ini ialah enjin 1,498cc naturally-aspirated empat silinder sebaris Hibrid dengan bantuan motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan 204 PS dan tork 310Nm dengan bateri lithium Iron Phosphate (LFP) 1.8kwj.
Ia juga dengan Transmisi Dedicated Hybrid (DHT) untuk aliran kuasa elektrik dan enjin petrol lebih lancar selain tork pantas ketika kenderaan dari keadaan pegun.
Padanan ini bukan sahaja memberi kuasa mencukupi, tetapi juga menawarkan kecekapan bahan api yang ketara berbanding SUV biasa dan sistem hibridnya membolehkan kereta bergerak dalam mod elektrik penuh pada kelajuan rendah, menjadikannya lebih jimat dalam kesesakan bandar.
Daripada sudut pengendalian, Tiggo Cross Hibrid memberikan rasa keyakinan dengan stereng yang responsif dan stabil pada selekoh selain suspensi talaan sederhana berjaya mengimbangi keselesaan dengan kawalan body roll, sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan luar bandar.
Tahap kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) juga baik, tidak terlampau banyak kemasukan bunyi enjin dan jalan dari luar serta daripada segi penggunaan bahan api, ia mencatat bacaan sekitar 4.8L/100km dan menerusi satu tangki penuh 51 liter, mampu menjangkau perjalanan lebih 800 kilometer (km) dengan dua mod pemanduan Eco dan Sport.
Secara keseluruhannya model ini sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar dengan saiznya yang kompak, hibrid dan rekaan sporty selain sesuai untuk perjalanan jauh atau ke destinasi jauh dengan penawaran penggunaan bahan api efisien.
Chery Tiggo Cross 1.5L Hibrid CSH ditawarkan pada harga RM99,800 dengan empat pilihan warna iaitu perak, kelabu, hitam dan putih.
© New Straits Times Press (M) Bhd




