NEW YORK: China mendesak negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya jangan menghadiri forum mengenai penindasan etnik Islam Uighur dan minoriti lain di Xinjiang.
Acara yang dijadualkan minggu depan itu dianjurkan oleh Jerman, Amerika Syarikat (AS) serta Britain dan dilihat sebagai usaha Barat membendung keghairahan China cuba memperluaskan pengaruhnya pada peringkat global.
Misi China ke PBB, dalam satu nota diplomatik bertarikh 6 Mei lalu, mendakwa penganjuran acara itu adalah bermotifkan politik dan meminta negara anggota PBB tidak menyertai acara anti-China itu.
China mendakwa penganjur acara terbabit, yang turut membabitkan beberapa negara Eropah lain bersama Australia dan Kanada, menggunakan ‘isu hak asasi manusia sebagai alat politik untuk mencampuri urusan dalaman China.
“Perbuatan memperbesarkan isu seperti di Xinjiang ini bertujuan mewujudkan perpecahan dan pergolakan serta mengganggu pembangunan China.
“Mereka taksub dengan provokasi yang meningkatkan konflik terhadap China,” jelas butiran dalam nota itu, yang mendakwa acara provokatif akan mendorong lebih banyak ketegangan,” katanya.
Duta AS, Jerman dan Britain akan menghadiri acara maya PBB itu, yang dijadualkan Rabu ini, bersama dengan Pengarah Eksekutif Pemerhati Hak Asasi Manusia, Ken Roth dan Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard.
Matlamat acara itu adalah bagi membincangkan bagaimana sistem PBB dapat menyokong dan meningkatkan advokasi negara anggota serta masyarakat awam mengenai hak asasi manusia bagi etnik Turki di Xinjiang.
Negara Barat dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa pihak berkuasa Xinjiang menahan serta menyeksa etnik Uighur di kem pelarian, yang didakwa AS sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Januari lalu, Washington melaksanakan sekatan termasuk melarang import produk kapas dan tomato dari Xinjiang atas tuduhan sektor industri itu menggunakan buruh paksa.
Bagaimanapun, Beijing menafikan tuduhan itu dan menyifatkan kem terbabit sebagai pusat latihan vokasional untuk memerangi kumpulan pelampau agama. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd