China, Jepun, Korea Selatan bertemu di KL bincang langkah tangani tarif AS

China, Jepun, Korea Selatan bertemu di KL bincang langkah tangani tarif AS

Kuala Lumpur: China, Jepun dan Korea Selatan yang memberi isyarat menjalin pakatan sejak pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan mesyuarat tiga pihak keduanya di sini dalam masa hanya lapan hari sahaja selepas pertemuan pertama mereka tahun ini.

Ini secara langsung mencerminkan tindakan terdesak mereka selepas pengumuman tarif meluas oleh Washington yang telah mencetuskan kesan riak di seluruh dunia.

Pertemuan antara tiga kuasa ekonomi Asia itu pada 30 Mac lepas mendapat perhatian dunia selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara, dengan duti yang lebih tinggi untuk sesetengah negara, termasuk China, yang kini berdepan tarif 34 peratus ke atas import, dan Jepun, dikenakan duti 24 peratus.

Bagi Korea Selatan, negara itu sedang dalam usaha untuk mengurangkan kadar tarif 25 peratus yang dikenakan AS.

Difahamkan mesyuarat tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai prospek ekonomi global kerana dasar tarif seperti ini menjejaskan perdagangan, perniagaan dan keyakinan pengguna dan akhirnya merenggangkan hubungan diplomatik.

Pasaran global jatuh merudum pada Isnin, dilaporkan mencatatkan kerugian lebih US$10 trilion daripada pasaran utama. Di dalam negara, Bursa Malaysia dilaporkan kehilangan permodalan pasaran bernilai RM93.15 bilion.

Mesyuarat tiga pihak itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, yang dihadiri Naib Menteri Kewangan China, Liao Min; Naib Menteri Kewangan Jepun, Atsushi Mimura; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Antarabangsa Korea Selatan, Kementerian Ekonomi dan Kewangan, Choi Jiyoung.

Ketiga-tiga pemimpin itu juga dijangka menghadiri dua sesi Mesyuarat Timbalan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 (AFCDM+3), hari ini.

Langkah terbaru AS ini dijangka meningkatkan jumlah duti ke atas barangan China kepada 54 peratus tahun ini, dengan bagi Korea Selatan, carta tarif timbal balik global pentadbiran Trump menunjukkan kadar 25 peratus.

Sebagai tindak balas, China telah mengenakan tarif sebanyak 34 peratus ke atas semua import AS, berkuat kuasa 10 April, menurut laporan media antarabangsa. Mesyuarat Ekonomi +3 sebelum ini telah bersidang pada akhir Mac, membayangkan tindak balas bersama terhadap ketegangan tarif yang semakin meningkat.

Mesyuarat itu menandakan dialog ekonomi pertama dalam tempoh lima tahun dalam kalangan tiga kuasa utama eksport Asia itu yang berusaha untuk meningkatkan perdagangan serantau di tengah-tengah peningkatan dasar perlindungan AS.

Pada mesyuarat 30 Mac di Seoul, China, Jepun dan Korea Selatan mengesahkan komitmen mereka terhadap kerjasama ekonomi dan perdagangan tiga hala untuk menangani “cabaran yang muncul”—perkongsian yang kini dilihat semakin penting memandangkan langkah tarif AS yang telah mencetuskan kebimbangan perang perdagangan global.

Ketiga-tiga negara itu juga bersetuju untuk mempercepatkan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas tiga hala.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top