Beijing: Selepas 10 tahun, Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke China sememangnya detik yang dinanti-nantikan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata, China amat mengalu-alukan lawatan oleh Seri Paduka Baginda yang bermula hari ini, hingga 22 September.
“Lawatan Negara ini ialah yang pertama sejak 10 tahun… memang agak lama. Kita amat gembira dengan kunjungan ini. Lawatan ini juga tepat pada masanya ketika kita meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara Malaysia dengan China tahun ini.
“Kita rancang agak lewat, selalunya perbincangan untuk Lawatan Negara mengambil masa setahun lebih awal, namun disebabkan hubungan rapat dua negara, apabila kita utarakan cadangan agar Sultan Ibrahim melawat China selepas istiadat pertabalan, terus dapat jawapan setuju, cuma kita mencari masa yang agak sesuai,” katanya kepada Bernama, di sini.
Lawatan Negara pertama oleh Seri Paduka Baginda ke China sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping.
Norman berkata, Lawatan Negara tidak dapat dilakukan sejak 10 tahun lalu antaranya disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan pertukaran kerajaan, justeru sudah semestinya lawatan kali ini diharapkan akan terus mengekalkan momentum hubungan baik antara Malaysia dengan China.
Beliau berkata, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan rasmi ke negara ini tahun lalu, banyak lawatan peringkat tertinggi dilakukan di China dan juga Malaysia baru-baru ini.
“Ia bukan lawatan kosong, hasil daripadanya banyak kerjasama baharu yang telah kita capai terutama sekali dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan China bersetuju tawar lebih banyak tempat untuk pelajar TVET Malaysia datang ke China.
“Kita juga ada berbincang untuk permudah banyak perkara daripada segi hubungan dua hala terutamanya kita beri pelepasan visa untuk rakyat China selama 30 hari dan China beri kita 15 hari dan baru-baru ini, Malaysia dibenarkan untuk eksport durian segar.
“Perkara ini semua hasil kerjasama hubungan diplomatik yang rapat, kita harap lawatan Seri Paduka Baginda ini akan mengekalkan momentum hubungan kita untuk tahun-tahun seterusnya dan berharap semasa Malaysia menjadi Pengerusi Asean tahun depan, akan ada lawatan timbal balas oleh Presiden China,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penanda aras hubungan rapat antara kedua-dua negara ialah hubungan perdagangan, iaitu China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (US$98.90 bilion) yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global negara ini.
Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024, mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (US$49.53 bilion) berbanding RM214.87 bilion (US$48.21 bilion) pada pertengahan tahun pertama 2023.
Selain itu, Norman berkata, Lawatan Negara kali ini akan melihat kembali antaranya pencapaian hubungan diplomatik Malaysia dengan China dan kerjasama dalam isu-isu yang lebih besar.
“Sebagai contoh, dasar Malaysia Madani oleh Anwar adalah agak sama dengan konsep diutarakan Presiden China iaitu ‘Community of Shared Future’ (CSF), dengan Malaysia Madani berkongsi nilai dan sifat bersama CSF yang dicadangkan Xi berdasarkan inovasi, penjagaan dan keterangkuman serta saling menghormati.
“Berkaitan dengan itu, Malaysia juga ingin mempelajari beberapa perkara dengan China khususnya dalam pembasmian miskin tegar kerana China berjaya mengeluarkan berjuta-juta rakyatnya daripada kemiskinan tegar dalam masa beberapa dekad dan hal ini menjadi aspirasi kepada banyak negara termasuk Malaysia,” katanya.
Berkaitan kerjasama pendidikan, Norman berkata, Malaysia mengiktiraf China sebagai antara rakan paling penting dalam bidang pendidikan tinggi, dan setakat Jun lalu, 47,937 penuntut antarabangsa dari China melanjutkan pengajian di Malaysia merangkumi 21,590 penuntut sepenuh masa di universiti swasta dan 26,347 penuntut sepenuh masa di universiti awam.
“Sebagai contoh, terdapat 7,650 penuntut membabitkan 4,514 penuntut tempatan dan 3,136 penuntut antarabangsa (2,200 penuntut dari China) di Xiamen University of China yang membuka cawangan di Sepang, Selangor pada 2016.
“Malaysia mengalu-alukan lebih ramai kedatangan penuntut dari China. Kita juga bekerjasama dalam bidang TVET yang dipelopori oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatannya ke China baru-baru ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




