PERSATUAN Bola Sepak China (CFA) at mengumumkan pemecatan ketua jurulatih kebangsaan, Branko Ivankovic, selepas skuad negara itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Keputusan tersebut dibuat susulan prestasi mengecewakan China dalam kempen kelayakan dengan pasukan itu hanya pernah beraksi sekali sahaja di pentas Piala Dunia.
Kekalahan 0-1 kepada Indonesia pada awal Jun menjadi titik tolak kepada kegagalan skuad kebangsaan untuk mara ke peringkat seterusnya, sekali gus menamatkan harapan mereka untuk layak.
China menamatkan saingan di tempat kedua tercorot dalam kumpulan Asia dengan tujuh kekalahan daripada 10 perlawanan.
“Memandangkan skuad lelaki kebangsaan gagal layak ke pusingan play-off, kontrak jurulatih dan barisan kejurulatihannya telah terbatal secara automatik mengikut terma yang ditetapkan.
“Branko Ivankovic tidak lagi akan membimbing pasukan kebangsaan,”,” kata CFA dalam satu kenyataan.
CFA turut mengumumkan bahawa jurulatih skuad bawah 19 tahun China, Dejan Djurdjevic dari Serbia telah dilantik sebagai jurulatih interim pasukan kebangsaan.
Pasukan China kini berada di kedudukan ke-94 dalam ranking dunia FIFA mencerminkan kemerosotan berterusan sejak beberapa tahun lalu.
Skuad kebangsaan China sering menjadi bahan kritikan peminat tempatan susulan prestasi hambar serta skandal rasuah yang membelenggu arena bola sepak negara itu.
Presiden China, Xi Jinping sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melihat negaranya menjulang Piala Dunia suatu hari nanti, namun kegagalan terbaru ini menyaksikan China hanya pernah beraksi di Piala Dunia sekali, iaitu pada tahun 2002 tanpa sebarang kemenangan atau jaringan.