BEIJING – China telah melancarkan Visa ASEAN untuk 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta Timor-Leste selaku pemerhati ASEAN, menurut Kementerian Luar China.
Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata, program baharu itu menawarkan visa pelbagai kemasukan selama lima tahun kepada pemohon yang layak melawat China bagi tujuan perniagaan, termasuk pasangan dan anak-anak mereka, dengan tempoh maksimum tinggal sehingga 180 hari.
“Bagi mereka yang mempunyai soalan lebih khusus berkenaan visa ke China, mereka dialu-alukan untuk menghubungi perwakilan diplomatik dan konsular kami di negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan lagi perjalanan rentas sempadan di rantau ini, sebagai tambahan kepada pengaturan pengecualian visa antara China dengan beberapa negara seperti Singapura, Thailand dan Malaysia, serta program “Visa Lancang-Mekong” China untuk negara di lembangan Sungai Mekong.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menyatakan bahawa China dan ASEAN telah memperkukuh usaha ke arah membina sebuah komuniti dengan masa depan bersama.
“Lawatan antara rakyat China dan negara Asia Tenggara semakin kerap dilakukan.
“Terdapat harapan bersama untuk memudahkan lagi perjalanan antara kedua-dua pihak,” katanya.
Lin turut menjelaskan bahawa senarai negara dengan pengecualian visa yang semakin meningkat menunjukkan keazaman kukuh China untuk meluaskan keterbukaan pada tahap tinggi.
“Pelbagai langkah yang diambil China bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan merupakan sebahagian daripada tindakan konkrit China untuk mewujudkan ekonomi global yang terbuka,” katanya.
Sebagai tambahan kepada bukti, beliau berkata pada suku pertama tahun ini, China menerima lebih sembilan juta kunjungan pelawat asing, meningkat lebih 40 peratus tahun ke tahun.
“Dan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, lebih 18,000 syarikat pelaburan asing telah ditubuhkan di China, meningkat sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa China akan terus menambah baik dasar kemasukan dan menambah lebih banyak negara ke dalam senarai pengecualian visa.
“China komited untuk memperluas keterbukaan dan memperdalam kerjasama demi kemakmuran bersama dengan seluruh dunia,” katanya lagi. – Bernama