
Misil yang dilancarkan dari Iran ke arah Israel kelihatan melintasi langit malam di atas Tebing Barat, Ramallah pada 7 Mac 2026.-Agensi
ANKARA – China dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan menyalurkan bantuan kewangan serta komponen berkaitan peluru berpandu kepada Iran ketika konflik dengan Amerika Syarikat terus memuncak.
Menurut laporan CNN pada Jumaat, memetik tiga sumber yang mengetahui perkara itu, Beijing setakat ini masih mengelak daripada terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan, namun pegawai Amerika Syarikat sedang memantau tanda-tanda perubahan pendirian negara tersebut.
Laporan itu menyatakan China merupakan pembeli utama minyak mentah Iran dan sebelum ini turut menggesa Teheran memastikan laluan perkapalan komersial melalui Selat Hormuz kekal selamat.
Sumber yang mengetahui maklumat risikan tersebut berkata kepada CNN bahawa Beijing mengambil pendekatan berhati-hati terhadap sebarang bentuk sokongan kerana konflik berkenaan berpotensi menjejaskan keselamatan tenaga negara itu.
Dalam pada itu, Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) enggan mengulas mengenai maklumat risikan tersebut.
Laporan sama turut mendakwa Rusia telah berkongsi imej satelit serta maklumat risikan sasaran dengan Iran, termasuk data mengenai kedudukan dan pergerakan pasukan tentera Amerika Syarikat.
Minggu lalu, enam anggota tentera Amerika Syarikat dilaporkan terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan dron Iran di Kuwait.
Sejak konflik memuncak, Iran dilaporkan melancarkan ribuan dron serangan dan ratusan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat, kedutaan serta sasaran awam, ketika serangan Amerika Syarikat dan Israel menghentam lebih 2,000 lokasi di Iran.
Ketegangan serantau meningkat mendadak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu lalu yang mengorbankan lebih 1,000 mangsa, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, lebih 150 pelajar perempuan serta beberapa pegawai kanan tentera.
Iran kemudian membalas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, kemudahan diplomatik serta beberapa bandar di Israel.
Serangan balas antara pihak terlibat dilaporkan masih berterusan dan terus meningkat.-Agensi
Ringkasan AI
- China mempertimbangkan bantuan kewangan dan komponen peluru berpandu kepada Iran
- Beijing mengambil pendekatan berhati-hati terhadap konflik dengan Amerika Serikat untuk menjaga keselamatan tenaga
- China merupakan pembeli utama minyak mentah Iran
- Rusia berbagi imej satelit dan maklumat risikan dengan Iran
- Konflik telah menyebabkan kematian dan serangan balas antara Iran dan Amerika Syarikat serta sekutunya



