Chivu yakin Inter mampu bangkit atasi defisit Bodo/Glimt

Chivu yakin Inter mampu bangkit atasi defisit Bodo/Glimt

Milan: Cristian Chivu yakin skuad Inter Milan kendaliannya mampu bangkit daripada ketinggalan dua gol menentang Bodo/Glimt dan mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Inter tewas 1-3 di Norway, minggu lalu dan berisiko menyertai juara bertahan Itali, Napoli tersingkir daripada pertandingan kelab elit Eropah itu.

“Kami tidak mempunyai kewajipan, hanya tanggungjawab. Apa yang perlu kami lakukan ialah turun ke padang dan lakukan apa yang kami tahu kami mampu lakukan,” kata Chivu kepada wartawan menjelang perlawanan kedua play-off di San Siro, awal pagi Rabu ini.

“Kami perlu turun dengan keyakinan bahawa jika ada pasukan yang boleh membalikkan keadaan ini, ia adalah kami.

“Kami tidak boleh hilang kepercayaan terhadap diri sendiri atau keyakinan diri.

“Jika kami mahu mempunyai sebarang peluang untuk layak dari play-off, kami perlu menjadi versi terbaik diri kami.”

Inter akan turun tanpa kapten mereka, Lautaro Martinez di bahagian serangan, manakala Chivu tidak memberikan perkembangan terkini mengenai keadaan pemain tengah utama, Hakan Calhanoglu yang mengalami pelbagai masalah otot sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pemenang pertembungan itu akan menentang sama ada Manchester City atau Sporting CP di pusingan 16 terakhir, bulan depan.

Bodo/Glimt menikmati kempen penampilan sulung luar biasa dalam kempen UCL apabila mara ke peringkat play-off dengan kemenangan mengejut ke atas Manchester City dan Atletico Madrid dalam dua perlawanan terakhir fasa liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top