georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keindahan dan kemegahan tradisi bangsa Bajau Samah dari Sabah diangkat menerusi kostum nasional rasmi Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2025 di Thailand, bulan depan.
Kostum dinamakan The Majestic of Anjung Serimpak direka Mell Sulaiman dan bakal dipersembahkan Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim di pusingan terpenting ratu cantik nombor satu dunia itu nanti.
Mell menyifatkan peluang terbabit satu penghormatan besar kepada warisan budaya masyarakat Bajau Samah di Sabah.
“Anjung Serimpak bukan sahaja busana biasa tetapi juga simbol kekayaan, budaya, keanggunan serta keagungan seni warisan yang diwarisi turun-temurun dalam masyarakat ini.
“Rekaan ini mengangkat elemen keemasan, tradisi, motif etnik kehalusan seni kraftangan yang mencerminkan kemegahan. Setiap perincian dihasilkan dengan penuh ketelitian untuk menzahirkan keindahan seninya.
“Semoga The Majestic of Anjung Serimpak ini berdiri megah di pentas Miss Universe kelak sebagai lambang keagungan budaya Malaysia yang kaya akan warisan tradisinya,” katanya pada sidang media A Fellowship for Miss Universe Malaysia 2025 semalam.
The Majestic of Anjung Serimpak mengangkat keindahan sejarah, kehalusan budaya dan menggambarkan pertalian erat etnik Bajau Samah dengan lautan serta warisan mereka sebagai pelaut yang mahir.
Ia diperbuat daripada Serimpak tembaga berbentuk kapal layar, dipadankan dengan kain Selisir sulaman tangan artisan mereka.
Elemen tradisional seperti tali pinggang Siupu dan aksesori Duang Sama pelengkap penting.
Chloe berkata dia amat berbesar hati dapat memakai kostum yang benar-benar mencerminkan akar budaya rakyat Malaysia serta daya kreativiti dan semangat kemajmukan negara.
“la mengingatkan kita agar sentiasa menghargai keaslian diri dan kepelbagaian yang membentuk identiti rakyat Malaysia. Saya akan berikan yang terbaik membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya bertekad untuk mewakili negara dengan penuh keanggunan dan beradab sambil membuktikan bahawa kecantikan, belas ihsan dan intelek mampu berjalan seiring,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



