Kuala Lumpur: Jenama Choco Albab yang diperkenal sejak April 2021 terus rancak merencana transformasi ekonomi dalam usaha mengukuhkan keberadaannya.
Acara tahunan, Rising Star 2025 kali ketiga penganjuran jenama ini di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini meriah dengan pengisian pelbagai agenda serta pelancaran ‘manifesto’ baharu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Said Saiful Fazli Said Aluwi berkata syarikatnya yang berdaftar di bawah Saudagaar Asia Sdn Bhd (Saudagaar Asia) ini akan terus membuka peluang pekerjaan kepada yang memerlukan.
“Lebih tuntas kami mahu membantu terutama golongan B40 serta M40, suri rumah, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kehilangan pekerjaan untuk memulakan perniagaan kecil.
“Insya Allah dengan usaha ini dapatlah membantu golongan itu untuk menjana pendapatan tambahan. Semua ini dalam usaha untuk terus merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Jelas Said lagi, Choco Albab terus mempergiat usaha memperkasa komuniti usahawan kecil, wanita dan belia melalui platform perniagaan yang inklusif.
Ia merujuk kepada pengenalan konsep baharu ‘Open Bonet’ sebagai Choco Albab Joy Station. Konsep yang semakin popular kebelakangan ini disifatkan sebagai penjenamaan semula platform jualan bergerak dengan beberapa penambahbaikan.
“Konsep Open Bonet ini asalnya dimulakan secara inisiatif oleh ejen sendiri dan kini mendapat pengiktirafan serta sokongan daripada ibu pejabat (HQ). Melihat lebih 2,000 ejen menggerakkan inisiatif ini secara berdikari, kami tampil memperkenalkan pendekatan yang lebih profesional.
“Semuanya bagi memastikan keseragaman dan kualiti pengalaman pelanggan. Konsep ini juga lebih tersusun dengan prosedur operasi standard (SOP), harga dan menu standard di seluruh negara.
“Kami akui pada masa kini, konsep itu sudah popular dan menjadi ikutan. Lalu, ini membuatkan kami di HQ begitu teruja membantu mereka dalam menambah baik usaha sedia ada.
Kami mendengar suara komuniti kami. Inilah masanya untuk membawa gerakan ini ke peringkat seterusnya sebagai alternatif kerjaya dalam ekonomigig negara,” katanya.
Dengan lebih 6 juta rakyat Malaysia terlibat dalam ekonomi gig, Choco Albab Joy Station menawarkan peluang perniagaan yang fleksibel dan mudah diakses.
Sekali gus, ia sesuai untuk suri rumah, pelajar, graduan, danGen Z yang mahukan kawalan dalam kehidupan dan kerjaya mereka.
Pada majlis sama, jenama itu turut melancarkan keluaran produk baharunya, minuman Choco Albab Belgian Mocha iaitu satu minuman premium berasaskan koko Belgian yang dirumus khas untuk gaya hidup moden dan cita rasa mewah.
Lebih manis, pada majlis berkenaan juga, seramai 3000 ejen dari seluruh negara hadir untuk menerima anugerah, menyaksikan pelancaran produk terbaru, dan mengikuti pengumuman hala tuju baharu daripada pihak HQ dalam usaha menyokong semangat keusahawanan rakyat Malaysia.
Untuk rekod, Choco Albab kini memiliki lebih 95,000 usahawan dibawahnya di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
© New Straits Times Press (M) Bhd