Tokyo: Satu majlis persaraan untuk Chocolat, kucing yang memegang gelaran Ketua Stesen di Stesen JR Uzen-Komatsu di Kawanishi, Wilayah Yamagata, diadakan pada 14 September lalu di stesen berkenaan, lapor The Japan News.
Majlis itu menarik kehadiran ramai peminat dari dalam dan luar wilayah yang datang hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kucing itu.
Chocolat, seekor kucing jantan baka campuran, pertama kali ditemukan di tempat letak kereta stesen itu pada Mei 2019 sebelum diselamatkan oleh sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menguruskan stesen berkenaan.
Chocolat dilantik sebagai ketua stesen pada Oktober tahun yang sama dan berjaya menawan hati pengunjung dengan kehadirannya yang comel. Namun, disebabkan faktor usia, ia bersara pada akhir Julai lalu.
Pada majlis persaraan itu, pengerusi pertubuhan bukan untung berkenaan, Kazuo Emoto, menyampaikan surat penghargaan dan hadiah kenang-kenangan berupa makanan kucing kepada Chocolat.
Peminat yang hadir tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan sambil menyampaikan ucapan penghargaan kepada si comel itu.
Seorang pekerja syarikat berusia 42 tahun dari Kawamata, Wilayah Fukushima yang sering melawat Chocolat beberapa kali dalam setahun memberitahu: “Pada mulanya ia kelihatan waspada dengan persekitaran tetapi lama-kelamaan ia menjadi selesa dan sangat comel. Saya harap ia dapat berehat dengan tenang.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




