
Barisan pemain, jurulatih Harimau Malaya meraikan kemenangan ke atas Vietnam bersama Ultras Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa. – FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, meluahkan rasa bangga dan kagum terhadap skuad Harimau Malaya susulan kemenangan bergaya ke atas pasukan Vietnam dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027.
Menerusi hantaran di media sosialnya, bekas jaguh dunia itu turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad kendalian Peter Cklamovski atas persembahan mantap yang dipamerkan dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Bangga dengan Harimau Malaya! Syabas atas kemenangan bergaya ke atas Vietnam.
“Anda semua benar-benar menunjukkan mutu, kualiti serta semangat juang yang tinggi,” ujar beliau.
Empat gol skuad negara masing-masing dijaringkan oleh Joao Figueiredo (minit ke-49), Rodrigo Holgado (m-59), La’Vere Corbin Ong (m-67), dan Dion Cools (m-88), sekali gus meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F, memintas Vietnam.
Terdahulu, skuad bimbingan Peter Cklamovski memulakan kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Mac lalu.
Kemenangan bergaya ke atas skuad Naga Emas itu juga menamatkan penantian panjang penyokong Malaysia untuk menewaskan pasukan Vietnam yang kini dibimbing oleh Kim Sang-sik. Seterusnya, Harimau Malaya akan berdepan Laos pada Oktober depan.
Â