Chong Wei kongsi resipi kejayaan

Chong Wei kongsi resipi kejayaan

Chong Wei ketika berucap selepas menerima anugerah ‘BWF Hall Of Fame 2023’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. – Foto Bernama

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkongsi bagaimana keinginan untuk berjaya telah mendorong beliau menjadi ‘superstar’ sukan badminton sehingga disenarai dalam Badminton Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Menurut Chong Wei, beliau sentiasa mahu menjadi pemain terbaik dunia kerana padanya, bergelar pemain nombor satu Malaysia masih belum memadai.

“Dalam fikiran, saya sentiasa mahu menjadi rakyat Malaysia pertama, (menjadi) yang pertama (rakyat Malaysia) menjadi nombor satu dunia.

“Saya selalu tanam dalam minda bahawa saya mahu jadi pemain Malaysia pertama memegang gelaran nombor satu dunia paling lama,” katanya kepada pemberita pada majlis pemasyhuran Badminton Hall of Fame BWF di sini hari ini.

Chong Wei mengakui cabaran daripada ‘musuh tradisinya’ Lin Dan menjadi pendorong kepada beliau untuk layak ke perlawanan akhir dalam setiap kejohanan, kerana kedua-dua mereka sering kali cuba mengatasi satu sama lain dalam pertandingan.

Walaupun Lin Dan menjadi musuh utamanya dalam gelanggang, namun pemain China yang kini berusia 39 tahun itu sentiasa memberi dorongan diperlukan untuk berada dalam kelasnya tersendiri.

“Sama ada saya atau dia (Lin Dan) menang, saya sentiasa mahu bersaing (pastikan) kedua-dua kami akan mara ke final. Saya sentiasa mahu kalahkan Lin Dan dan kami memberi galakkan antara satu sama lain setiap kali di final,” katanya.

Hari ini, Chong Wei dan Lin Dan dimasyhurkan dalam Badminton Hall of Fame BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka.

Penguasaan Chong Wei dan Lin Dan dalam arena badminton menyaksikan mereka bertanding sesama sendiri dalam lima perlawanan akhir di temasya Sukan Olimpik dan 10 Kejohanan Dunia. – Bernama