sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei percaya Lee Zii Jia sudah melakukan yang terbaik di sebalik kekalahannya di separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.
Terdahulu, impian Zii Jia yang juga pemain nombor tujuh dunia itu untuk memenangi pingat emas lebur apabila tewas di tangan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 14-21, 15-21 pada aksi di Porte de la Chapelle Arena.
Chong Wei yang juga pemenang pingat perak tiga kali Olimpik berkata, seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan aksi yang ditampilkannya sepanjang temasya kali ini.
“Cuba semula lagi empat tahun (di Sukan Olimpik Los Angeles 2028).
“Kali ini, bawa pulang pingat gangsa dulu. Kunlavut bermain dengan sangat baik,” tulis Chong Wei di laman Instastory miliknya.
Sebagai rekod, Chong Wei adalah pemain perseorangan lelaki terakhir Malaysia yang berjaya mara ke pentas final Olimpik dalam penampilannya pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.
Bagaimanapun, dia ketika itu terpaksa sekali lagi berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas di tangan pemain China, Chen Long.
Sebelum itu, Chong Wei turut mara ke final pada edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London tetapi kecundang di tangan bintang China, Lin Dan dalam kedua-dua aksi final.
© New Straits Times Press (M) Bhd




