Chor Kin, Natalie ungguli Sekinchan Ultra

Chor Kin, Natalie ungguli Sekinchan Ultra

Sabak Bernam: Jaguh larian jarak jauh Hong Kong, Law Chor Kin dan Natalie Dau dari Australia masing-masing mempamer daya ketahanan yang mengagumkan untuk muncul juara keseluruhan 100 kilometer (km) lelaki dan wanita pada edisi keempat Sekinchan Ultra yang dilangsungkan pada hujung minggu ini.

Meskipun disegani dengan reputasinya selaku laluan paling mendatar di Malaysia, Sekinchan Ultra, anjuran Lumen Sports, tetap menghadirkan cabaran luar biasa yang menguji fizikal dan mental setiap pelari.

Chor Kin, yang juga pelumba jarak ultra terkemuka di negaranya, jelas berada pada kelas tersendiri untuk dominasi saingan lelaki keseluruhan dengan catatan masa 10 jam, 12 minit dan 17 saat (10:12:17s).

Atlet tempatan Lye Tick Twan muncul naib juara dengan melintasi garis penamat pada 11:17:42s, manakala rakan senegara, Qawiem Abu Bakar melengkapkan podium dengan masa 12:22:33s.

“Saya benar-benar menikmati perlumbaan ini. Walaupun pernah banyak kali bertanding di Malaysia, ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Sekinchan dan dalam acara ini,” kata Chor Kin, yang pernah berlumba dalam lebih 100 acara berjarak ultra dalam kariernya.

“Ia ternyata amat mengujakan. Laluan di sini memang begitu mendatar! Namun begitu, ia tidaklah mudah kerana jika tidak menguruskan kelajuan dengan baik, awak akan cepat letih.

“Saya datang kali ini hanya dengan niat untuk berlatih dan membuat persiapan menjelang satu lagi acara di Malaysia pada Februari depan, iaitu Route 68, di mana saya akan mengambil bahagian dalam kategori 400km. Jadi, untuk dapat muncul juara sememangnya amat menggembirakan.”

Aksi 100km wanita menyaksikan dominasi Natalie, yang mengungguli tangga pertama dengan catatan masa 11:42:38s.

Di tempat kedua dan ketiga ialah wakil tempatan Lee Yee Shi (12:20:33s) dan Poo Lai Kuen (12:45:26s).

Natalie sebelum ini pernah memahat nama dalam Guinness World Records selaku individu terpantas merentasi Semenanjung Malaysia pada Julai tahun ini.

Dia mencipta rekod berkenaan selepas melengkapkan larian berjarak 700km dari Kelantan ke Johor Bahru dalam tempoh lapan hari dan 46 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top