Chukwu perkuat cabaran Perak FA di Liga A1

Chukwu perkuat cabaran Perak FA di Liga A1

PERSATUAN Bolasepak Perak (PAFA) mendapatkan khidmat pemain tengah Nigeria, Christian Chukwu bagi memperkuatkan skuad itu untuk saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, seluruh warga Perak FA mengalu-alukan kehadiran pemain berusia 23 tahun dari Abia itu yang sebelum ini beraksi bersama Marryland Nigeria.

Beliau berkata, Chukwu yang berperanan sebagai attacking midfielder dikenali kerana kepintaran mengatur serangan dan kawalan bola yang kemas.

Chukwu

Chukwu

“Kehadiran Christian menambah pilihan kreatif di bahagian tengah, sekali gus memberi dimensi baharu dalam corak serangan Perak FA.

“Lebih menarik, Christian sudah didaftarkan dan bersedia untuk membuat penampilan sulungnya dalam aksi penuh sengit Derby Utara menentang Kedah FA malam ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Perak FA.

Mohd Azhar mengajak penyokong Perak FA menyaksikan debut Chukwu serta menyokong pasukan itu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

“Dapatkan tiket anda sekarang dan bersama kita turun ke stadium demi lencana di dada dan maruah negeri tercinta! Kejor Yob Kejor!” katanya. – Bernama

Scroll to Top