am@hmetro.com.my
SATU lagi naskhah luar kotak bakal menemui penonton apabila filem bertemakan sains fiksyen, Abu Si Raksasa bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 September ini.
Lebih menarik, filem terbitan M Toons Media Sdn Bhd ini adalah filem tempatan pertama yang mengetengahkan genre Kaiju, iaitu filem berunsurkan makhluk gergasi.
Penerbitnya, Zamin Fakry berkata, Abu Si Raksasa diinspirasikan daripada perbincangan bersama ahli akademik alam sekitar, Prof Dr Hezri Adnan yang kemudian mencetuskan idea untuk mengangkat isu pencemaran melalui penceritaan kreatif.
“Kami mahu tampilkan kelainan dan memberikan nafas baharu dalam industri filem. Ini antara filem tempatan yang menjadikan alam sekitar sebagai tema utama dalam bentuk hiburan sains fiksyen,” katanya.
Filem ini berkisar mengenai seekor cicak salamander peliharaan bernama Abu yang mengalami mutasi menjadi raksasa selepas terdedah kepada bahan kimia daripada produk pencuci jamban di empangan tercemar.
Abu kemudian menjadi buruan pihak berkuasa diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad. Namun, pemiliknya, Zaara serta dua rakan, Sofiyan dan Zidan berganding bahu menyelamatkan makhluk itu.
Zamin berkata, lebih RM2 juta dibelanjakan untuk menyiapkan filem itu termasuk kos CGI dan VFX.
“Walaupun bajet terhad, kami bersyukur kerana mendapat dana daripada Kementerian Komunikasi dan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bagi merealisasikan projek ini,” katanya.
Sementara itu, pengarah filem ini, Ramdan Che Hassan yang juga penulis skrip menjelaskan pemilihan cicak salamander sebagai watak utama kerana keunikan spesies dua alam itu.
“Kajian menunjukkan ia boleh membesar luar biasa dan pada masa sama, ia bukan haiwan ganas. Jadi ia sesuai untuk dijadikan asas cerita,” katanya.
Proses penggambaran berlangsung sekitar Lembah Klang termasuk di Tasik Tadom, Kajang dan Sungai Buaya, dengan 40 peratus elemen filem membabitkan teknik CGI.
Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Sophia Al-Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.
© New Straits Times Press (M) Bhd