Pandemik COVID-19 bukan sahaja menguji keupayaan sistem kesihatan negara, malah membuka ruang kepada kerjasama lebih besar antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan menerusi Greater Klang Valley Task Force.
Penglibatan pelbagai pihak dalam menangani pandemik itu menjadi antara contoh jelas pelaksanaan Kerjasama Awam Tentera (CIMIC), apabila anggota tentera bukan sekadar menjalankan tugas keselamatan, malah membantu memenuhi keperluan kesihatan, logistik, pengangkutan pesakit dan pengurusan jenazah.
Bagi Pengarah di Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS), Lt Kol Ts Dr Maimunah Omar, pengalaman Greater Klang Valley Task Force memperlihatkan bagaimana CIMIC mampu digerakkan dalam skala besar ketika negara berdepan krisis.
“Pada saya, Greater Klang Valley Task Force merupakan satu bentuk CIMIC yang sangat berkesan dan banyak pengajaran yang boleh diperoleh daripada pelaksanaannya.
“Ramai juga tidak menyedari penglibatan tentera ketika COVID-19 kerana semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri. Di sebalik kelengkapan itu sebenarnya terdapat anggota tentera yang bertugas dan membantu KKM,” katanya.

Malah, operasi tersebut turut menghimpunkan kepakaran dan kemudahan daripada pelbagai sektor yang mungkin tidak begitu menonjol di mata masyarakat ketika pandemik.
“Ketika COVID-19, masyarakat lebih banyak melihat KKM sebagai pemain utama, sedangkan terdapat pelbagai agensi lain yang turut memainkan peranan,” jelasnya.
Antaranya hospital swasta yang menerima pesakit bukan COVID-19 bagi memberi lebih ruang kepada hospital kerajaan menumpukan rawatan terhadap pesakit wabak berkenaan.
Dari sudut pengangkutan pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, St John Ambulans serta RapidKL antara pihak yang digerakkan bagi memenuhi keperluan ketika itu.
“Ramai yang tidak mengetahui RapidKL turut membantu. Bas mereka diubah suai dengan kemudahan landasan bagi memudahkan pesakit yang sudah berada dalam keadaan lemah dibawa untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Telekom dan TIME dotCom pula memberikan sokongan telekomunikasi bagi membantu pemantauan pesakit yang berada di rumah, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan mengehadkan pergerakan mereka.
Pertubuhan bukan kerajaan turut menyumbang, termasuk MERCY Malaysia yang mempunyai keupayaan hospital medan serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
“Hospital swasta, hospital kerajaan, hospital universiti serta pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai keupayaan hospital medan turut bersama menyediakan keperluan ketika itu, termasuk MERCY Malaysia,”kongsi beliau.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga terlibat menerusi sektor pengajian tinggi termasuk Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Skala kerjasama tersebut menjadi lebih tersusun apabila Greater Klang Valley Task Force dibahagikan kepada 10 kelompok merangkumi antaranya pemantauan pesakit di rumah, urusan klinikal dan pentadbiran.
“Dalam setiap kelompok itu terdapat penglibatan tentera dan KKM. Kedua dua pihak berkomunikasi secara selari dan itulah CIMIC, iaitu kita bekerjasama,” jelasnya.
Masa menjadi perkara paling kritikal
Keperluan terhadap kerjasama itu menjadi semakin mendesak apabila peningkatan kes COVID-19 mula memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara.
Ketika itu, kemampuan petugas barisan hadapan semakin terbatas selepas berdepan beban tugas yang berterusan, sekali gus mendorong keperluan mendapatkan sokongan tambahan daripada pihak lain.
“Petugas barisan hadapan khususnya jururawat dan doktor ketika itu sudah keletihan. Tenaga manusia semakin tidak mencukupi dan ramai yang mengalami keletihan melampau,” katanya.
Dalam keadaan sumber manusia semakin terhad, Dr Maimunah berkata, satu lagi cabaran besar yang perlu dihadapi ialah masa, apabila setiap keputusan dan tindakan perlu dibuat dengan segera.
“Perkara paling penting dan sangat kritikal ketika itu ialah masa. Kita perlu mengejar masa kerana COVID-19 tidak menunggu.
“Jika terlalu banyak masa diambil untuk bermesyuarat, kadar kematian boleh meningkat. Jadi, isu aset, tenaga manusia dan keperluan lain perlu diselesaikan dengan segera,” katanya lagi.
Keupayaan ATM menyediakan jumlah anggota yang besar, bergerak pantas, merancang secara strategik serta melaksanakan operasi dengan teratur akhirnya menjadi antara kekuatan yang diperlukan dalam situasi tersebut.
Penglibatan ATM kemudiannya dibahagikan kepada pasukan perubatan dan logistik dengan lebih 1,000 anggota terlibat dalam bahagian logistik.
“Majoriti anggota logistik terdiri daripada Tentera Darat, namun terdapat juga penglibatan Tentera Udara dan Tentera Laut,” katanya.
Tiga tugasan besar ATM ketika COVID-19
Antara tumpuan utama ATM ialah operasi di Pusat Kuarantin Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Ketika petugas kesihatan perlu memberikan perhatian kepada pesakit yang lebih kritikal, anggota tentera mengambil alih sebahagian tugas sokongan yang tidak memerlukan kepakaran perubatan.
“Apabila tugas bukan perubatan dan bukan klinikal dilaksanakan oleh tentera, doktor dan jururawat dapat memberikan tumpuan kepada pesakit COVID-19 dalam kategori lebih tinggi, khususnya kategori empat dan lima,” jelasnya.
Keperluan oksigen yang tinggi di MAEPS pula menyaksikan seramai 750 anggota ditempatkan untuk mengendalikan Pasukan Pembawa Oksigen (OSCAR).
“Kerja mengendalikan tangki oksigen bukan sesuatu yang ringan. Secara keseluruhan, sebanyak 14,258 tangki oksigen disediakan dan diselia oleh ATM dalam membantu Greater Klang Valley Task Force,” katanya.
Selain OSCAR, Pasukan Bekalan Semula Pantas (RRT) ditugaskan memastikan keperluan perubatan dan ubat ubatan dapat diagihkan di hospital serta MAEPS.
Dengan sebahagian urusan sokongan diambil alih, petugas KKM mempunyai lebih ruang untuk menumpukan tugas perubatan dan rawatan pesakit.
Namun, satu lagi peranan ATM yang kurang diketahui masyarakat ialah pengurusan jenazah menerusi Pasukan Pengurusan Jenazah (BMT).
“Ramai yang tidak mengetahui bahawa tentera turut menguruskan jenazah mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19. Sebanyak 4,442 jenazah diuruskan ketika itu.
“Urusan pengangkutan juga bukan sesuatu yang mudah kerana jenazah perlu dibawa ke kawasan yang telah ditetapkan. KKM memberikan tumpuan kepada rawatan, manakala urusan lain yang boleh dibantu dilaksanakan oleh tentera,”ujar beliau.
Menurut Dr Maimunah, pembahagian tugas seperti itu memberi kesan besar terhadap kemampuan petugas kesihatan untuk memberi perhatian kepada pesakit.
“Apabila tugas bukan perubatan dan bukan klinikal dilaksanakan oleh tentera, doktor dapat memberikan tumpuan kepada pesakit COVID-19.
“Dalam tempoh 41 hari, Malaysia berjaya mengurangkan kadar COVID-19 dan selepas itu tumpuan mula diberikan kepada vaksinasi,” katanya.
Hospital ATM turut jadi wad COVID-19
Sumbangan ATM tidak terhenti pada operasi MAEPS apabila kemudahan sedia ada milik pasukan itu turut dimanfaatkan bagi menampung keperluan rawatan.
“Buat pertama kalinya, kawasan parkir Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju ditukar menjadi wad bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga,” katanya.
Bagi Dr Maimunah, penggunaan kawasan berkenaan turut membuka pengetahuan baharu mengenai bagaimana hospital tentera sebenarnya direka untuk menghadapi situasi luar jangka.
“Hospital itu direka supaya apabila berlaku kecemasan atau bencana, Angkatan Tentera dapat membantu menyediakan rawatan perubatan. Pada struktur tertentu di kawasan berkenaan juga terdapat kemudahan bekalan oksigen,” jelasnya.
Meskipun telah berkhidmat dalam ATM selama berpuluh tahun, beliau mengakui pandemik tersebut turut membuka matanya terhadap beberapa keupayaan yang selama ini tidak begitu diketahuinya.
“Jangan melihat COVID-19 hanya sebagai sesuatu yang membawa kesukaran. Banyak perkara yang sebenarnya boleh kita pelajari daripada pengalaman itu,” katanya.
CIMIC bukan hanya ketika negara dilanda krisis
Greater Klang Valley Task Force mungkin menjadi antara contoh paling ketara ketika pandemik, namun kerjasama antara tentera dan masyarakat sebenarnya telah lama menjadi sebahagian daripada pendekatan pertahanan negara.
“CIMIC bukan sesuatu yang baharu. Konsep ini telah lama wujud selepas negara mencapai kemerdekaan menerusi pendekatan Keselamatan dan Pembangunan atau KESBAN,” katanya.
Apa yang berubah kini ialah usaha memperluas kefahaman masyarakat mengenai peranan mereka sendiri dalam ekosistem pertahanan dan keselamatan.
“Pertahanan dan keselamatan negara bukan tanggungjawab pasukan beruniform semata mata. Ia merupakan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.
Tanggungjawab tersebut, jelas Dr Maimunah, hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak mensyaratkan seseorang menyarung uniform.
Justeru, hubungan antara tentera dan masyarakat perlu sentiasa diperkukuh supaya kedua dua pihak memahami bagaimana mereka boleh saling melengkapi.
Prinsip tersebut menjadi sebahagian daripada Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, dengan kerajaan dan seluruh masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama dalam mempertahankan negara.
ATM bukan hanya berperanan ketika perang
Dalam Kertas Putih Pertahanan, peranan ATM dibahagikan kepada tugas utama dan sekunder.
Tugas utama melibatkan pertahanan negara dalam ruang darat, laut, udara serta siber dan elektromagnetik, manakala tugas sekunder merangkumi bantuan kepada kerajaan ketika keadaan memerlukan.
“Ketika aman, ATM turut membantu kerajaan melalui pelbagai tugas termasuk berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, operasi mencari dan menyelamat seperti tragedi tanah runtuh Batang Kali serta pengurusan banjir,” katanya.
Pandemik COVID-19 memperlihatkan bagaimana peranan sekunder itu boleh digerakkan tanpa mengabaikan tanggungjawab utama ATM.
“Contoh paling jelas ialah ketika COVID-19 apabila polis dan tentera bersama sama melaksanakan sekatan jalan raya kerana keadaan ketika itu memerlukan penglibatan ATM untuk membantu kerajaan.
“Pada masa yang sama, tugas utama kami seperti menjaga sempadan tetap diteruskan,” jelasnya.

Semangat kerjasama sama dapat dilihat menerusi Op BENTENG dan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang menghimpunkan pelbagai agensi dalam pelaksanaan tugas keselamatan.
Bagi Dr Maimunah, pendedahan mengenai skop sebenar tugas ATM penting kerana masih terdapat masyarakat yang beranggapan tentera tidak mempunyai banyak peranan ketika negara aman.
Tegas beliau, CIMIC perlu diperkasakan supaya masyarakat memahami fungsi tentera ketika aman, ketika krisis dan juga semasa latihan.
“Itulah kefahaman yang kita mahu bawakan kepada masyarakat,” katanya.
Kedaulatan negara bermula dengan masyarakat
Pemahaman mengenai CIMIC pada akhirnya tidak hanya berkisar tentang bagaimana ATM membantu masyarakat, tetapi bagaimana rakyat sendiri boleh memainkan peranan dalam menjaga negara.
“Menjaga kedaulatan negara boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk. Ia bukan semata mata mengenai kawalan sempadan kerana tanggungjawab itu turut hadir dalam kehidupan seharian kita,” katanya.
Kepekaan terhadap perkara mencurigakan menjadi antara contoh mudah bagaimana orang awam boleh membantu pihak berkuasa.
“Jika terlihat orang luar atau tongkang asing mendarat di kawasan kita, segera buat laporan dan rakam situasi berkenaan terlebih dahulu sebagai bukti,” katanya.
Namun untuk membolehkan kerjasama sedemikian berfungsi, hubungan antara rakyat, tentera dan kerajaan perlu dibina lebih awal dan bukan hanya apabila krisis berlaku.
“Perkara paling penting ialah kita membina kepercayaan antara rakyat, tentera, masyarakat awam dan kerajaan,” jelasnya.

Semangat itulah yang menurut Dr Maimunah perlu terus disuburkan kepada generasi seterusnya supaya tanggungjawab mempertahankan negara tidak dilihat sebagai tugas eksklusif pasukan keselamatan.
PLKN 3.0 lahir daripada semangat HANRUH
Prinsip tanggungjawab bersama yang dibawa menerusi HANRUH turut menjadi asas penting dalam usaha membentuk generasi muda melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Program itu bukan semata mata bertujuan membawa anak muda ke kem latihan atau membentuk mereka menjadi anggota tentera, sebaliknya memberi kefahaman bahawa terdapat pelbagai ruang untuk mereka berbakti kepada negara.
“Bukan semua orang perlu menjadi tentera. Ada yang mahu menjadi polis, menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atau Jabatan Sukarelawan Malaysia dan ada juga yang mahu meneruskan pengajian ke universiti.
“Yang penting, kita membantu mereka melihat laluan yang sesuai dengan minat dan kebolehan masing masing,” kata beliau.

Pendekatan itu juga mengambil kira perubahan cara generasi baharu melihat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Generasi baharu ada cara sendiri cintakan negara
Bagi Dr Maimunah, generasi muda tidak seharusnya diukur berdasarkan cara generasi terdahulu menzahirkan semangat patriotik.
Perbezaan zaman, teknologi dan pendedahan menjadikan generasi baharu mempunyai kecenderungan serta cara tersendiri untuk memahami isu pertahanan.
“Mereka mungkin tidak menunjukkan kecintaan kepada negara dengan cara yang sama seperti generasi kita. Ada yang tidak memakai uniform tetapi mempunyai pengetahuan luas mengenai dron, peperangan, perkembangan di Timur Tengah dan isu kependudukan.
“Mereka mungkin mempunyai cara tersendiri untuk mencintai negara. Jadi, kita perlu membimbing mereka supaya mengetahui saluran yang sesuai untuk menyumbang,” katanya.

Atas sebab itu, pandangan golongan muda dan institusi pengajian tinggi turut diambil kira dalam pembentukan PLKN 3.0, termasuk menerusi perbincangan bersama Universiti Utara Malaysia serta penglibatan bekas peserta program berkenaan.
Pendekatan tersebut penting supaya program yang dibangunkan tidak hanya melihat keperluan generasi muda daripada sudut pandang generasi terdahulu.
31 pihak berganding membentuk PLKN 3.0
Usaha membentuk PLKN 3.0 turut melibatkan 31 kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang membawa kepakaran serta pandangan masing masing.
Penglibatan itu bukan sekadar berkaitan penyediaan kemudahan atau tempat latihan, malah membuka ruang kepada pelbagai pihak menyumbang idea dalam membentuk generasi muda yang lebih memahami tanggungjawab mereka terhadap negara.
Bagi Dr Maimunah, antara perkara yang mahu dibentuk menerusi PLKN 3.0 ialah kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai rakyat, semangat perpaduan serta pengukuhan jati diri dan patriotisme.
“Kita mahu memberikan kesedaran dan mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab sebagai rakyat. Kita juga mahu mereka menjadi duta kecil perpaduan negara serta memperkukuh jati diri dan patriotisme,” katanya.

Pada akhirnya, matlamat tersebut kembali kepada prinsip HANRUH yang melihat pertahanan negara sebagai tanggungjawab bersama.
Semangat sama telah diperlihatkan ketika COVID-19 menerusi Greater Klang Valley Task Force apabila anggota tentera, petugas kesihatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan memainkan peranan mengikut kemampuan masing masing.
Apa yang berubah hanyalah bentuk sumbangan, sedangkan tanggungjawab terhadap negara kekal dikongsi bersama.










