Cindy akhirnya ditangkap, antara 10 buruan paling dikehendaki FBI

Cindy akhirnya ditangkap, antara 10 buruan paling dikehendaki FBI

New Delhi: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah menahan Cindy Rodriguez Singh, salah seorang daripada “10 buruan paling dikehendaki” Amerika, di India.

NDTV melaporkan Singh, 40, dikehendaki berhubung kes pembunuhan anak lelakinya berusia 6 tahun, Noel Rodriguez Alvarez, pada tahun 2022.

Dia didakwa melarikan diri dari Amerika Syarikat pada Mac 2023 untuk mengelak daripada pendakwaan.

Dia bersama suaminya, Arshdeep Singh, serta enam anak mereka, kali terakhir dilihat menaiki pesawat menuju ke India pada 22 Mac 2023 hanya beberapa hari selepas anaknya dilaporkan hilang.

Noel tidak berada dalam pesawat itu dan sejak itu tidak pernah dilihat lagi.

Singh didakwa berbohong kepada pihak berkuasa mengenai keberadaan anaknya, dengan mendakwa kanak-kanak itu bersama bapa kandungnya di Mexico.

Buruan keempat daripada senarai ’10 Paling Dikehendaki’ berjaya ditahan dalam tempoh 7 bulan, hasil usaha pentadbiran Trump.

Cindy Singh akan berdepan pertuduhan melarikan diri daripada pendakwaan serta pembunuhan.

Ini adalah amaran kepada semua PENJENAYAH: Anda pasti akan ditangkap dan DIDAKWA,” kata kenyataan Rumah Putih di platform X.

Pada Oktober 2024, Interpol telah mengeluarkan Notis Merah terhadap Singh.

Namanya dimasukkan ke dalam senarai “10 Paling Dikehendaki” FBI pada Julai lalu, dengan ganjaran maklumat mengenai penangkapannya dinaikkan daripada USD25,000 (RM105,609) kepada USD250,000 (Lebih RM1 juta).

Dia ditahan di India hasil kerjasama FBI dengan pihak berkuasa India dan INTERPOL, sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Singh akan diserahkan kepada pihak berkuasa Texas, menurut laporan Fox News.

“Senarai ’10 Paling Dikehendaki’ FBI diwujudkan untuk kes seperti ini apabila seorang buruan berbahaya menyangka dia boleh melarikan diri ke luar negara dan terlepas daripada keadilan.

Berkat usaha gigih FBI serta kerjasama antarabangsa, Cindy Singh kini kembali ke tanah Amerika untuk berdepan pertanggungjawaban atas pembunuhan kejam anaknya sendiri,” kata Pengarah FBI, Kash Patel.

Beliau menambah: “Keadilan tidak mengenal sempadan. Hari ini rakyat Amerika boleh melihat bahawa kami tidak akan berhenti memburu mereka yang memangsa insan paling tidak berdaya.”

Tentang Cindy Rodriguez SinghSingh ialah ibu pertama yang dituduh membunuh anaknya sendiri lalu dimasukkan ke dalam senarai “10 Buruan Paling Dikehendaki” FBI, yang sepanjang sejarahnya telah menyenaraikan lebih 500 penjenayah paling berbahaya di Amerika.

Singh berada di tangga ke-4.

Saksi memberitahu pihak penyiasat bahawa Singh percaya anaknya jahat, mungkin “dirasuk” dan bimbang dia akan mencederakan bayi kembarnya.

Noel, yang menghidap penyakit paru-paru kronik dan memerlukan sokongan oksigen, didakwa didera, dibiarkan kebuluran, dan tidak diberi air.

Dalam satu kejadian, Singh dikatakan memukulnya dengan kunci ketika dia cuba minum.

Malah pada satu ketika, dia memberitahu seseorang bahawa dia telah menjual anak itu.

Pada 31 Oktober 2023, Singh didakwa dengan pertuduhan pembunuhan di Tarrant County, Texas.

Beberapa hari kemudian, waran persekutuan dikeluarkan ke atasnya kerana melarikan diri daripada pendakwaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top