Cinta diuji, nikah di hospital

Cinta diuji, nikah di hospital

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Seorang lelaki yang sepatutnya meraikan hari bahagianya di atas pelamin terpaksa melafazkan akad nikah di atas katil hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum disatukan dengan pasangannya.

Meskipun masih terlantar dan menerima rawatan, Che Muhammad Rifqi Danial Che Alias, 25, dan pasangannya, Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26, tetap meneruskan majlis ijab kabul dalam suasana penuh emosi.

Pasangan itu sah disatukan sebagai suami isteri pada Jumaat lalu di Wad 6C Ortopedik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, sekali gus membuktikan bahawa cinta sejati tidak mengenal batasan atau keadaan.

Nur Sufia Amalin berkata, suaminya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kedai aksesori kereta mengalami patah paha dan tulang rahang selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Banggol Kulim pada 1 September lalu.

“Suami saya masih dirawat di hospital dan dijadualkan menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian paha serta rahang esok. Saya berharap segala urusan dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, memandangkan persiapan majlis sudah dirancang sejak sekian lama, kedua-dua pihak keluarga memohon agar akad nikah diteruskan seperti dirancang.

“Justeru, pihak HSIP melalui inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) berbesar hati memberikan kelulusan serta menyediakan ruang khas bagi memastikan majlis akad nikah kami berlangsung dengan lancar,” katanya.

Bercerita mengenai majlis akad nikah mereka, Nur Sufia Amalin berkata, majlis berkenaan dijalankan secara sederhana di ruang khas HSIP dengan kehadiran ibu bapa kedua-dua pihak serta saksi yang menyaksikan penyatuan mereka sebagai suami isteri.

“Kami tetap memilih untuk meneruskan majlis ini kerana segala persiapan sudah pun dilakukan sejak tiga bulan lalu. Lagipun, perancangan untuk bernikah sudah dibuat sejak lama, jadi kami nekad untuk teruskan juga walaupun keadaan tidak seperti yang dibayangkan selain mengambil berkat sempena tarikh Maulidur Rasul.

“Malah ketika majlis akad nikah berlangsung, kami tidak memakai baju pengantin kerana suami tidak dapat bergerak. Majlis itu hanya dijalankan secara ringkas,” katanya.

Katanya, meskipun pengantin lelaki masih dirawat di hospital, kenduri tetap diteruskan seperti dirancang di rumah neneknya yang terletak di Pahi memandangkan semua tetamu sudah dijemput lebih awal.

“Setakat ini, kami masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan mengadakan majlis bersanding semula atau tidak memandangkan suami dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah, yang penting majlis akad nikah kami sudah selamat disempurnakan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital yang banyak membantu melancarkan urusan kami,” katanya penuh syukur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top