eorgie@hmetro.com.my
Buat julung kalinya pelakon terkenal tanah air, Emma Maembong bergandingan dengan bintang muda, Mierul Aiman dalam drama berjudul Seadanya Kita.
Drama arahan Feroz Kader dan terbitan Global Film Station ini meneruskan usaha Viu Malaysia dalam mengetengahkan naratif tempatan yang dekat di hati penonton.
Feroz kembali bekerjasama dengan Viu selepas kejayaannya mengarahkan drama bersiri Pabila Dia Tersenyum dan kini membawa sentuhannya dalam siri terbaharu ini.
Pengarah Produksi Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan berkata, pihaknya mengalu-alukan penghasilan karya berkualiti dan memaparkan kisah yang dekat dengan masyarakat.
“Kami amat teruja untuk bawakan Seadanya Kita kepada penonton. Drama ini naskhah apabila kami dapat tampilkan gandingan pertama antara Mierul Aiman dan Emma Maembong.
“Keserasian mereka melalui drama ini amat menyentuh perasaan, menjentik emosi dan kejujuran kepada kisah mendalam tentang cinta, keluarga dan pilihan hidup termasuk persoalan sama ada perbezaan usia benar-benar menjadi halangan atau sekadar persepsi manusia,” katanya.
Seadanya Kita mengisahkan Alani, seorang ibu tunggal yang sedang membina semula kehidupan bersama anak lelaki mereka, Iqi selepas ditinggalkansuaminya, Farouq.
Ketika hidupnya mula kembali stabil, kehadiran Farouq selepas lima tahun, mula mengganggu ketenangan yang Alani kecapi.
Dalam masa yang sama, Alani bertemu Kerol, penyanyi rock muda yang masih bergelut dengan masa silamnya.
Apa yang bermula sebagai hubungan profesional, perlahan-lahan bertukar menjadi satu perasaan lebih mendalam apabila Kerol menemui ketenangan dalam keluarga kecil Alani.
Tanpa disedari, Kerol mula memainkan peranan dalam kehidupan Iqi, satu peranan yang Alani sendiri belum bersedia untuk terima.
Terperangkap antara masa lalu yang meminta peluang, masa kini yang perlu dijaga dan masa depan yang mungkin membawa bahagia, Alani terpaksa berdepan luka lama yang disangkanya sudah lama sembuh.
Selain Emma dan Mierul, drama ini turut dibintangi Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan, Mikael Noah dan ramai lagi.
Drama romantik 15 episod ini ditayangkan secara eksklusif bermula 7 Ogos lalu.
Sementara itu, lagu tema rasmi Seadanya Kita, ‘Berakhir Kita’ nyanyian penyanyi Syamel dilancar serentak dengan tayangan siri itu.
Dicipta Shazriq Azeman dan Omar K dari World Peace Music, balada penuh emosi ini kini boleh didapati di semua platform penstriman utama dan saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




