Jakarta: Kalau sudah jodoh, tak lari ke mana. Itu peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan kisah pasangan dari Indonesia ini yang bercinta sejak di sekolah rendah dan akhirnya berkahwin hingga kisah mereka tular di laman sosial.
Tribunnews melaporkan, menerusi video yang tular, terlihat beberapa gambar pasangan itu sejak zaman mereka cinta monyet hingga bersanding di atas pelamin.
Perkongsian video itu mencuri perhatian warganet hingga mendapat banyak komen di TikTok.
Karina Amalia berkata, video dimuat naik itu menggambarkan perjalanan dan kisah cintanya dengan suami, Irfan hingga mereka disatukan sebagai pasangan.
“Tujuannya hanya untuk menghargai diri sendiri dan pasangan.
“Ia kerana selepas menempuh perjalanan panjang yang tentu tidak mudah, kami sampai ke jinjang pelamin,” katanya yang juga usahawan.
Karina Amalia menjalin hubungan dengan Irfan selama 12 tahun sebelum mendirikan rumah tangga.
Dia menerima lamaran Irfan kerana nampak suaminya sebagai lelaki yang bertanggungjawab dan bekerja keras.
“Dia (Irfan) orang yang tak kenal erti putus asa, semangat juangnya juga tinggi.
“Apa pun akan dia lakukan selagi kerja itu mendatangkan hasil dan rezeki yang halal,” katanya.
Menurut Karina Amalia, Irfan akan berusaha melakukan yang terbaik untuknya walau macam mana pun keadaannya.
Katanya, banyak pengalaman baharu yang dilalui mereka sejak berkahwin.
“Hampir semua yang saya jalani dengan Irfan itu menarik.
“Tapi yang meninggalkan kesan adalah pengalaman baharu yang bakal kami lalui berdua untuk pertama kali sebagai suami isteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd