syafil.syazwan@hmetro.com.my
NAMA Julia Farhana Marin tidak asing lagi bagi peminat filem dan drama tempatan, namun siapa sangka di sebalik wajah jelitanya, pelakon berusia 31 tahun ini menyimpan minat mendalam dalam bidang pertanian.
Minatnya itu bukan sekadar minat biasa, tetapi dikembangkan menjadi perniagaan yang semakin kukuh sekali gus membuka ruang baharu untuknya meneroka bidang itu.
Berkesempatan bertemu empat mata dengan pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini, Julia berkongsi keterujaannya menceburi bidang pertanian.
“Sebenarnya, dah lama juga saya terbabit dalam perladangan ini. Minat dalam bidang pertanian itu sejak remaja lagi dan saya banyak mendalami ilmu dalam bidang itu.
“Lebih kurang 10 hingga 15 tahun lalu, saya nak mulakan ladang, tapi saya takut untuk buat secara manual sebab tak cukup pekerja. Kemudian, sistem pengairan automatik titis (fertigation) mula popular.
“Jadi, sekarang dengan adanya sistem itu lebih mudah sebab saya boleh pantau menggunakan telefon pintar atau tablet untuk kawal air dan sebagainya. Sebab itulah saya bertambah yakin untuk buat,” katanya.
Berkongsi mengenai minat mendalam dalam bidang pertanian, dia pernah mengalami pengalaman pahit selepas berdepan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.
“Saya bermula dengan penanaman cili lebih kurang enam tahun lalu, kemudian saya cuba tanam timun, buah-buahan seperti markisa dan limau. Selepas itu, muncul idea untuk keluarkan produk jus bersama rakan kongsi.
“Pada awalnya, saya mula dengan 6,000 pokok, namun 3,000 pokok mati. Saya sampai tertanya-tanya, ada bahagian yang salah atau bagaimana sebab risikonya sangat tinggi.
“Waktu itu, lebih kurang lima tahun lalu, saya kerugian sekitar RM50,000 hingga RM60,000. Waktu itu, saya terfikir, mungkin saya kena cari seorang pakar dan dari situlah saya mengenali rakan kongsi yang juga guru saya,” katanya.
Katanya, apabila sudah belajar daripada seorang guru, dirinya menjadi lebih berani untuk cuba meneroka bidang pertanian dengan mendalam.
“Alhamdulillah, selepas belajar selok-belok dunia pertanian, sampai ke hari ini ladang timun dan cili saya terus menghasilkan tanaman.
“Daripada lima ekar (2.02 hektar), sekarang ladang kami sudah mencecah luas hampir 30 ekar (12.1 hektar) dan kami masih lagi berusaha untuk kembangkan,” katanya.
Julia yakin perniagaan adalah cabang kerjaya yang stabil dan mungkin menjadi kerjaya utama sekiranya dunia lakonan tidak lagi menjadi rezeki, suatu hari nanti.
“Saya memang sukakan alam semula jadi. Walaupun dulu selalu rasa bahawa saya bukanlah orang yang pandai berkebun atau bertani, saya tetap nak cuba juga untuk terjun ke dalam cabang perniagaan ini.
“Bagi saya, perniagaan adalah kerjaya yang stabil walaupun ada naik dan turunnya. Pada saya, sekiranya apa-apa berlaku kepada kerjaya lakonan, sekurang-kurangnya saya ada sesuatu sebagai rancangan sokongan.
“Saya bukan peminat solekan, alat solek, kosmetik, baju atau fesyen tudung dan sebagainya. Saya pernah cuba, tapi memang tak minat ke arah itu. Bila buat benda-benda berkaitan tanaman, saya jadi bersemangat,” katanya.
Kini, Julia dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membuka ladang mangga dan durian, serta mengembangkan perniagaan jus buah-buahan yang memfokuskan kepada pesakit diabetes.
Dalam pada sibuk dengan ladangnya, Julia tetap tidak pernah melupakan cinta pertamanya iaitu dunia lakonan.
“Pada masa sama, kerja lakonan masih berlangsung seperti biasa. Kalau diberi peluang, sampai umur 80 tahun pun saya masih nak berlakon. Saya takkan berhenti, insya-Allah.
“Cinta hati saya sentiasa untuk dunia lakonan. Saya suka datang ke set penggambaran walaupun mungkin ia memenatkan. Kadang kala, bila jalani penggambaran sampai jam 4 pagi, saya tertanya kepada diri sendiri pula, ‘Kenapalah aku jadi pelakon?’,” katanya.
Dalam pada itu, Julia juga meluahkan rasa kesyukuran kerana setiap keputusannya mendapat sokongan dan restu daripada suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.
“Suami okay, Alhamdulillah. Dia pun sibuk juga dengan kerja dia. Jadi, kami berdua ada kesibukan masing-masing dan pada masa sama, saling memahami karier satu sama lain.
“Pada masa sama, kami juga akan mencari waktu untuk diluangkan bersama contohnya, pergi bercuti sekejap walaupun ke tempat percutian yang berdekatan. Yang penting, dapat luangkan masa bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




