Cintai contengan abstrak

Cintai contengan abstrak

razis@mediaprima.com.my

Sebaik melangkah masuk di kediaman teres dua tingkat ini, mata penulis terus tertumpu kepada puluhan lukisan yang ditempatkan di ruang tamu.

Penggunaan warna terang yang cukup menyerlah dengan kombinasi pelbagai elemen budaya, warisan, flora, fauna dan moden di negara ini menjadi daya penarik kepada sesiapa sahaja untuk menekuni karya seni unik ini dengan lebih dekat.

Pelukis yang bijak bermain dengan warna, tekstur, lapisan, menjadikan lukisan yang dihasilkan sentiasa menjadi perhatian ramai.

Jadi tidak hairanlah, lukisan yang dihasilkan mendapat perhatian ramai pihak termasuk beberapa syarikat korporat besar seperti YTL Group, Marriott International dan Hospital Aurelius.

Bukan itu sahaja, karya seni unik itu turut dimiliki bekas Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Siapa sangka, individu di sebalik penghasilan karya itu adalah seorang remaja berusia 17 tahun iaitu Danya Adriana Feri Pito Manda.

Pada usia yang masih muda, anak kedua daripada tiga beradik itu berjaya membuktikan kemampuan dirinya dalam bidang seni lukisan sekali gus menjadi pelapis pelukis muda yang disegani di negara ini.

Danya berkata, minat terhadap seni lukis sudah tercetus sejak kecil sebelum mula berkembang secara aktif ketika berusia 12 tahun.

“Sejak kecil, saya sudah minat ‘menconteng’ dengan melukis pelbagai corak dan bereksperimen dengan tekstur dan warna sebagai hobi untuk mengisi masa lapang.

“Minat dan bakat dikesan ibu bapa yang kemudian memberi galakan sepenuhnya untuk saya terbabit secara serius dengan menyertai pelbagai pertandingan dan pameran lukisan. Saya mula aktif sertai pelbagai pameran lukisan sejak usia 12 tahun sehingga ke hari ini,” katanya.

Berkongsi berkenaan lukisan dihasilkan, dia yang bernaung di bawah Galeri Art Market Malaysia cenderung menghasilkan lukisan jenis abstrak berbanding realisitik yang banyak memberi kebebasan kepada dirinya untuk mengekspresikan kreativiti seninya dalam bentuk lukisan.

“Keunikan Malaysia yang memiliki banyak elemen budaya, warisan, flora dan fauna masih terpelihara dimanfaatkan dengan mengetengahkan semua elemen terbabit dalam penghasilan lukisan.

“Bukan itu, saya turut menyuntik elemen moden seperti menara KLCC untuk menggambarkan kemajuan Malaysia yang mendapat perhatian di mata dunia.

“Semua elemen ini digambarkan bukan untuk nampak cantik sahaja, tapi saya ingin ceritakan keunikan negara ini melalui penghasilan karya seni,” katanya.

Danya mengakui pemilihan lukisan abstrak dilihat agak berisiko kerana penerimaannya masih kurang dalam kalangan masyarakat masih lagi kurang berbanding jenis lukisan lain.

“Sebagai pelukis saya lebih suka menghasilkan visual yang membuatkan seseorang itu perlu berfikir lebih mesej yang saya cuba sampaikan.

“Ada dalam kalangan masyarakat yang tidak faham dan ada yang persoalkan corak-corak yang diketengahkan di dalam lukisan. Setiap komen yang diberikan, saya ambil daripada sudut positif untuk meningkatkan kemampuan diri untuk menjadi seorang pelukis yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, penyertaan dalam pameran pada usia yang masih muda memberi pendedahan awal kepada dirinya kepada realiti sebenar untuk menjadi seorang pelukis.

“Melalui pameran saya dapat mengetengahkan karya seni ke depan supaya lebih dikenali dalam kalangan pelukis, peminat dan pemain industri seni sendiri selain dapat membina keyakinan diri untuk bercakap dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain itu, saya berpeluang bertemu dan bertukar pendapat berkenaan proses dan teknik yang digunakan dengan pelukis yang lebih berpengalaman yang banyak membantu untuk mematangkan diri untuk menjadi pelukis yang baik,” katanya.

Danya berkata, dalam kesibukannya menyertai pameran dan pertandingan, pelajaran tetap menjadi keutamaannya apatah lagi, dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

“Saya memiliki jadual sendiri untuk memastikan pelajaran tidak terganggu. Biasanya aktiviti melukis hanya dilakukan pada cuti hujung minggu selepas ulang kaji dan kerja sekolah diselesaikan.

“Selain minat, melukis adalah terapi yang dapat membantu memberikan ketenangan dan mengurangkan tekanan selepas seharian bergelumang dengan pelajaran,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar ekonomi.

Ditanya perancangan masa hadapan, Danya ingin memiliki galeri sendiri supaya karya seninya yang semakin bertambah dapat ditempatkan di ruang yang lebih sesuai.

“Galeri ini juga dapat menjadi platform untuk mewujudkan komuniti dan peminat seni sekali gus dapat memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top