Cipta impak tersendiri

Cipta impak tersendiri

georgie@hmetro.com.my

KEHEBATAN kumpulan pop rock, Day6 dari Korea Selatan kerap menjadi perbualan dan sememangnya persembahan mereka sentiasa dinanti-nanti. Mereka bukan penghibur calang-calang, namun sangat cemerlang di pentas.

Dianggotai Sungjin, Young K, Wonpil, dan Dowoon, kumpulan itu akhirnya bertandang buat pertama kali ke Malaysia untuk menjayakan konsert Day6 3rd World Tour : Forever Young anjuran Live Nation Malaysia di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Berlangsung selama dua hari, Day6 berjaya mencipta impak tersendiri buat peminat dari sini. Memang terbuktilah bahawa kehebatan mereka yang dicanang-canang selama ini bukan sekadar pujian kosong.

Sebaik tirai konsert dibuka saja, penonton terus ‘disedut’ masuk dalam sebuah kembara magis dengan tenaga persembahan mereka. Mereka terus menukar suasana menjadi lebih ‘hangat’.

Penonton pun tidak menunggu lama untuk menyambut tenaga yang mereka salurkan. Dihadiri peminat pelbagai lapisan umur, kualiti ditampilkan mereka memang teratas dan kesungguhan menghibur setiap anggotanya jelas terserlah.

Young K yang juga penyanyi dan pemain bass akui keterujaan mereka jadi lebih pasti dengan sambutan serta sorakan penonton ketika itu. Petah berbahasa Inggeris, dia turut puji semangat semua yang hadir bernyanyi sekuat hati.

“Malam ini adalah detik yang cukup istimewa. Saya cuma mahu cakap, kamu semua menyanyi dengan sangat baik. Ini adalah siri jelajah dunia kami yang ketiga. Tapi ini pertama kali kami datang untuk adakan konsert di sini.

“Satu penghormatan buat kami. Tenaga yang kamu tunjukkan sekarang, sangat luar biasa. Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan kamu semua,” katanya.

Wonpil selaku penyanyi dan juga pemain keyboard pula merasa seronok apabila dapat membawakan konsert penuh makna mereka itu kepada peminat di Malaysia. Dia sempat menjelaskan misi di sebalik siri jelajah itu.

“Kami ingin tonjolkan intipati siapa kami sebagai Day6 menerusi konsert Forever Young. Kami mahu tunjukkan kepelbagaian emosi dalam diri remaja dan berseronok dengan kamu semua.

“Meskipun kita datang daripada latar belakang berbeza dan bahasa, tapi itulah kuasa muzik yang mampu satukan kita,” katanya.

Tidak dinafikan, rata-rata penonton yang hadir terdiri daripada golongan muda dan pencinta muzik K-Pop. Sekali gus, kemeriahan dan kehangatannya lebih terasa seperti di acara-acara K-Pop lain.

Namun, ramai juga pencinta muzik genre rock yang turut tidak ketinggalan menyaksikan mereka secara langsung. Ini kerana, seleksi lagu yang mereka ada sememangnya berkualiti tinggi dan sesuai di halwa telinga pelbagai generasi.

Memang tidak disangkal lagi, kualiti Day6 merangkumi aspek yang cukup menyeluruh. Baik pada permainan instrumennya, konsistensi vokal padu, stamina, dan tidak ketinggalan semestinya visual mereka.

Setiap masa jeritan akan bergema dalam kalangan peminat wanita terutamanya apabila anggota kesayangan mereka berkata sesuatu atau wajahnya dipancarkan di skrin gergasi atas pentas.

Namun, ia tidak menggugat fokus keempat mereka untuk pamerkan tenaga yang berterusan. Terutama bahagian vokal, boleh dikatakan Day6 sangat cemerlang menyanyi secara langsung umpama ‘telan kaset’.

Pada konsert itu, mereka mendendangkan 30 lagu termasuk Best Part, Better Better, Healer, Time of Our Life, She Smiled, How to Love, Pouring, Say Wow, You were beautiful, I loved you, Letting Go, Congratulations, How Can I Say dan I wait.

Tidak ketinggalan, lagu Love me or Leave me, Shoot me, Monster, Zombie, Melt Down, HAPPY, Wish, Help Me Rock & Roll, Shxtty Game, DANCE DANCE, Freely, My Day, First Time, dan Welcome to the Show.

Seramai 7,000 penonton hadir menyaksikan konsert itu untuk dua hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top