suliati@hmetro.com.my
Bangi: Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerusi Institut Infrastruktur Tenaga (IEI) dan UNITEN R&D Sdn Bhd (URND) memeterai perkongsian strategik dengan Geomapping Technology Sdn Bhd (GMT) bagi mewujudkan Makmal Geoteknologi yang bakal beroperasi di National Energy Centre, di sini.
Kerjasama ini turut membabitkan pensampelan, pengujian dan penelitian ke atas sampel tanah, batuan dan bahan campuran (geologi dan geoteknik) serta pembangunan bersama teknologi berasaskan AI dan data geospatial, selain pembabitan dalam projek strategik negata termasuk dalam sektor utiliti dan tenaga.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerjasama ini bukan saja menzahirkan visi bersama ke arah pembangunan teknologi tempatan, malah ia juga membuka ruang luas kepada pengkomersialan hasil penyelidikan yang bersifat lestari dan berkualiti tinggi.
Katanya, sebagaimana yang ditekankan dalam Dasar Pendidikan Tinggi Negara, peranan universiti masa kini tidak hanya terhad kepada penyampaian ilmu, tetapi turut mencakupi pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan peneraju inovasi.
“Dengan kerjasama ini, UNITEN sebagai universiti berfokuskan tenaga membuktikan keupayaannya dalam menerajui kerjasama rentas sektor dengan impak besar kepada pembangunan negara.
“Menerusi pendekatan triple helix iaitu universiti-industri-kerajaan ini, saya percaya penyelidik, pelajar siswazah dan industri dapat bersama-sama mencipta nilai tambah yang mampan dan berimpak tinggi.
“Penyertaan rakan industri seperti GMT ini juga akan membawa nilai tambah signifikan dari segi kepakaran teknikal, akses pasaran dan pengalaman lapangan,” katanya ditemui pada majlis menandatangani perjanjian perkongsian strategik (SPA), di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Canselor UNITEN, Prof Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GMT, Abd Rasid Jaafar, Pengarah Urusan URND, Prof Dr Muhamad Mansor dan Pengarah IEI, Prof Madya Dr Rohayu Che Omar.
Khairul Salleh berkata, penubuhan makmal Geoteknologi ini juga bertujuan mengkomersialkan kepakaran, teknologi, inovasi serta kemudahan penyelidikan yang dimiliki URND dan UNITEN disamping memperkukuhkan keupayaan penyampaian khidmat profesional kepada industri.
Oleh itu, katanya perkongsian strategik itu amat bermakna kepada UNITEN kerana ia membuka peluang untuk meluaskan skop penyelidikan, menyediakan khidmat perundingan berdaya saing dan berpotensi menjana pendapatan menerusi khidmat makmal ujian serta analisis yang ditawarkan kepada pihak industri.
Katanya, ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk memenuhi indeks prestasi utama (KPI) supaya UNITEN terus mengekalkan pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE)–Teras Perkhidmatan yang dianugerahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Disember 2023.
“Kami beroleh geran RM5 juta untuk tiga tahun pertama dan salah satu KPI yang perlu dicapai ialah untuk menyediakan perkhidmatan kepada industri di luar.
“Bagi tahun pertama, pencapaian kami sudah pun melebihi KPI ditetapkan.
“Saya percaya usaha ini bukan saja menyumbang kepada pembangunan universiti, bahkan turut memberi impak kepada kemajuan industri dan negara dalam bidang pengawalan bencana geologi serta pengukuhan infrastruktur tenaga,” katanya.
Dari segi R&D pula katanya, selaku antara universiti swasta terawal ditubuhkan, pihaknya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada universiti lain bahawa mereka boleh juga menjana pendapatan melalui penyelidikan.
“Buat masa ini, 70 peratus pendapatan UNITEN adalah daripada yuran pengajian, manakala 30 peratus selebihnya hadir daripada sumber lain termasuk usaha penyelidikan dan pembangunan, serta endowmen.
“Justeru, menerusi kerjasama strategik ini, kami menyasarkan makmal ini mampu memberi pulangan modal dan menjana dana pendapatan selain daripada kebergantungan kepada pelajar sahaja, “katanya.
Sebagai syarikat perunding dan perkhidmatan pelbagai disiplin yang fokus dalam bidang geosains, geoteknikal serta geospatial, Abd Rasid berkata pihaknya berminat dalam elemen R&D.Menurutnya, menerusi kerjasama ini UNITEN dapat merealisasikan apa yang ingin dilakukan pihaknya.
“Dengan semua kemudahan yang dimiliki, peranan kami adalah untuk membantu dalam mengkomersialkan produk yang dihasilkan terutama berkaitan produk penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solution) seperti produk vegegrout yang memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan, tenaga diperbaharui seperti geotermal, sumber air bawah tanah dan sumber bumi terutama unsur nadir bumi.
“Kami juga berharap menerusi kerjasama strategik ini dapat mewujudkan satu lagi entiti perniagaan baru yang akan menjadi kuasa baru dalam geoteknikal, geosains dan geospatial,” katanya.
Sementara itu, Dr Muhammad berkata, walaupun fokus utama URND yang ditubuhkan pada 2008 adalah tenaga tetapi ia juga disokong oleh pelbagai disiplin.
Katanya, berdasarkan pembangunan yang dicapai setakat ini, pihaknya percaya inilah masa paling sesuai untuk menjalin kerjasama dengan GMT dan pihak industri lain dalam pelbagai bidang.
“Di bawah URND, kami ada enam institut penyelidikan. Jadi, menerusi projek ni, kami akan bantu melalui fasiliti, kepakaran, pengetahuan teknikal dan juga sokongan menyeluruh yang boleh berikan kepada GMT dan pihak industri.
“Kami juga mempunyai pendekatan berbeza daripada kebanyakan industri penyelidikan lain yang mana kami bukan sekadar melakukan penyelidikan tetapi mahu menghasilkan produk akhir yang boleh dikomersialkan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




