CITF mohon maaf kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa

CITF mohon maaf kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memohon maaf berikutan kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Kesesakan itu mencetuskan kemarahan ramai pihak apabila ia menyebabkan ramai penerima vaksin yang terdiri daripada warga emas terpaksa beratur beberapa jam, selain tidak dapat melaksanakan penjarakan fizikal.

CITF memaklumkan, kesesakan itu berpunca daripada laluan kenderaan masuk ke kawasan itu yang agak kecil, selain bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu untuk mereka yang hadir mendapatkan imunisasi agak terhad.

“Kapasiti PPV adalah seramai 1,600 orang sehari dan jumlah ditambah dengan bilangan pengiring, menyebabkan jumlah orang ramai yang berada di lokasi adalah berganda dalam satu-satu masa.

“Keadaan ini semakin buruk apabila hujan dan kenderaan yang menghantar penerima vaksin berebut menghentikan kenderaan masing-masing berdekatan dengan pintu masuk,” kata CITF dalam kenyataan, hari ini.

Bagi mengatasi isu kesesakan berkenaan, CITF mengambil langkah menambah bilangan khemah menunggu dan kerusi secepat mungkin, dan berjanji akan menambah baik perkhidmatan di PPV Stadium Setiawangsa.

Bagi memperbetulkan keadaan ini, CITF mengambil keputusan untuk menambah bilangan khemah menunggu sebanyak 4 unit dan sejumlah 500 kerusi dengan secepat mungkin.

“CITF memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan masalah kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa dan akan sentiasa menambah baik perkhidmatan kami dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pengguna media sosial, khususnya di Twitter yang rata-ratanya warga emas atau menemani ibu bapa mereka untuk mendapatkan vaksin, mengeluh susulan kelewatan dan kesesakan teruk di PPV Stadium Titiwangsa.

Ada antaranya kecewa apabila ramai warga emas, termasuk yang lewat usia tiada tempat duduk dan terpaksa beratur lama, selain tidak dapat melaksanakan penjarakan fizikal kerana jumlah orang terlalu ramai.

Keluhan dan rungutan yang rata-ratanya ditujukan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) itu, turut disertakan gambar warga emas, termasuk yang berkerusi roda, beratur panjang dan bersesak di bawah khemah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top