City belum mahu angkat bendera putih

City belum mahu angkat bendera putih

London: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pasukannya akan terus memberi saingan kepada Arsenal dalam perebutan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun mengakui kejuaraan kini bukan lagi di tangan mereka.

City berharap dapat merapatkan jurang kepada tiga mata ketika bertandang ke Everton pada Isnin, namun keputusan seri menyebabkan mereka terus ketinggalan.

Skuad Guardiola sebelum ini menghidupkan kembali perebutan kejuaraan selepas menewaskan Arsenal bulan lalu, namun The Gunners bangkit dengan kemenangan ke atas Newcastle United dan Fulham.

Ketinggalan enam mata dengan dua perlawanan dalam tangan, City masih berpeluang, namun mereka perlu menang di Everton untuk terus mengawal situasi.

City mendahului menerusi jaringan Jeremy Doku sebelum waktu rehat, namun Everton bangkit mendahului 3-1 hasil dua gol Thierno Barry serta tandukan Jake O’Brien.

City kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan lewat Erling Haaland dan Doku untuk mengelak kekalahan.

Keputusan seri 3-3 itu menyaksikan Arsenal kini mendahului lima mata di puncak liga menjelang tiga baki perlawanan menentang West Ham, Burnley dan Crystal Palace.

“Kami ambil satu mata dan selagi belum berakhir, kami akan terus berjuang.

“Ia lebih baik daripada kalah. Kami bermain untuk menang. Ini menunjukkan karakter pasukan. Kami cuba dan kami lakukannya. Ia bukan lagi di tangan kami. Sebelum ini di tangan kami, sekarang tidak.

“Kami perlu lakukan dalam empat baki perlawanan EPL. Ia mungkin sama seperti aksi menentang Brentford nanti. Kita lihat apa yang akan berlaku,” kata Guardiola.

Mengulas perlawanan, Guardiola berkata aksi di Everton sentiasa sukar dan memuji lawan yang bermain dengan tenang serta agresif.

“Babak kedua mereka meningkat dan kami hilang kawalan lalu melepaskan gol. Selepas itu mereka bangkit dan menjadikan perlawanan sangat fizikal serta agresif dalam perebutan bola,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top