City berhak rangkul tiga gelaran – Laporta

City berhak rangkul tiga gelaran – Laporta

London: Pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte berharap mereka akan berjaya merangkul tiga gelaran musim ini kerana dia percaya pasukan Pep Guardiola “layak meraih banyak perkara”.

Jika City menewaskan Real Madrid esok mereka akan berada di final Liga Juara-Juara kedua dalam tempoh tiga musim dan kemudiannya berpeluang untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana kelima dalam tempoh enam tahun pada hari Ahad dengan kemenangan ke atas Chelsea.

Perlawanan akhir pertama Piala FA menanti mereka pada 3 Jun dan selepas menyaksikan kekalahan Arsenal 0-3 di tempat sendiri kepada Brighton memberi peluang kepada City untuk memenangi Liga Perdana di tempat sendiri dengan baki dua perlawanan dan Laporte mengakui fokus semakin jelas.

“Ia besar untuk kami dan penting untuk musim ini,” katanya mengenai kemenangan 3-0 ke atas Everton Ahad dan semakin menghampiri gelaran juara liga minggu depan di Stadium Etihad.

“Kami berhak mendapat banyak perkara. Mudah-mudahan kami boleh mendapat treble, tetapi kami perlu fokus dalam setiap perlawanan, melakukan apa yang kami lakukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan lebih banyak lagi.”

Pemain tengah Ilkay Gundogan menjadi pemain penting dalam perlawanan baru-baru apabila menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan berturut-turut sambil turut memberikan bantuan kepada Erling Haaland ketika mereka merangkul kemenangan di Everton.

Guardiola memuji wataknya sebagai kapten, mengakui pemain Jerman itu tidak banyak bercakap tetapi apabila dia mengarahkan rakan sepasukan akan mendengar dengan pemain berusia 32 tahun itu, yang akan tamat kontrak pada musim panas ini, lebih gemar memimpin melalui teladan.

Itulah sebabnya mengapa Gundogan mungkin menjadi nadi utama kepada pemburuan tiga gelaran kerana apabila ditanya apa yang diperlukan daripada mereka untuk baki musim ini, dia berkata: “Untuk memastikan pasukan tenang dan tidak terlalu teruja.

“Ia jadual perlawanan yang padat setiap tiga atau empat hari sekali, kami tidak ada banyak masa untuk pulih jadi kami perlu cuba memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya menjelang perlawanan menentang Real Madrid pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd