London: Misi bangkit daripada ketinggalan dua gol pada aksi separuh akhir pertama menjadi cabaran utama juara Piala Liga, Newcastle United apabila mereka berkunjung ke Stadium Etihad untuk berdepan Manchester City pada perlawanan separuh akhir kedua, awal pagi Khamis ini.
Manchester City berada dalam kedudukan terbaik untuk melangkah ke final di Wembley di bawah kendalian Pep Guardiola selepas mencatat kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Newcastle pada aksi separuh akhir pertama di St James’ Park tiga minggu lalu hasil jaringan Antoine Semenyo dan Rayan Cherki.
The Citizens hanya sekali gagal mara ke final Piala Liga selepas memenangi perlawanan separuh akhir pertama, iaitu ketika tewas kepada seteru setempat, Manchester United pada musim 2009-10.
City kini mengintai gelaran Piala Liga pertama sejak musim 2020-21 dan hanya Liverpool (10) memenangi piala itu lebih banyak berbanding City (lapan).
Bagaimanapun, sejak kemenangan pada aksi pertama itu, prestasi skuad kendalian Guardiola sedikit merudum dengan hanya mencatat dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, termasuk keputusan seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur dalam aksi EPL di London Utara.
Perlawanan itu menyaksikan City gagal mempertahankan kelebihan dua gol pada separuh masa pertama buat kali pertama sejak April 2018, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap prestasi separuh masa kedua pasukan itu.
Dalam saingan EPL musim ini, City sudah menjaringkan enam gol tanpa bolos pada separuh masa pertama, namun bolos enam kali pada separuh masa kedua tanpa sebarang jaringan balas.
Prestasi goyah ketika menentang Spurs menambah tekanan kepada Guardiola apabila City kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal dengan baki 14 perlawanan.
City bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila kembali beraksi di Etihad, di mana mereka memenangi 14 daripada 18 perlawanan di laman sendiri dalam semua pertandingan musim ini.
Mereka juga memenangi 11 pertemuan terakhir di laman sendiri menentang Newcastle dengan agregat jaringan 37-3, termasuk kemenangan 4-0 liga pada Februari 2025.
Newcastle memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Liga dengan menewaskan Bradford, Tottenham dan Fulham, namun rentetan 10 kemenangan berturut-turut mereka dalam kejohanan itu berakhir selepas tewas di laman sendiri kepada City pada aksi separuh akhir pertama.
Jaringan kedua yang bolos pada minit ke-98 disifatkan sebagai tamparan hebat buat The Magpies, namun pengurus, Eddie Howe menegaskan ia ‘bukan penamat’ dan percaya pasukannya masih mampu bangkit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




