London: Manchester City terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, malam tadi hasil dua jaringan Erling Haaland serta satu gol cantik Phil Foden.
Palace sebenarnya lebih mengancam pada babak pertama, namun kegagalan Yeremy Pino menyudahkan peluang terbaik apabila rembatannya sekadar menggegar palang gol menyebabkan tuan rumah terlepas peluang mendahului.
City yang sebelum itu bergelut mencari rentak akhirnya membuka jaringan pada minit ke-41 apabila Haaland menanduk masuk hantaran lintang Matheus Nunes untuk gol ke-16 dalam liga musim ini.
Foden kemudian menggandakan kelebihan City pada baki 20 minit perlawanan sebelum Haaland melengkapkan kemenangan dengan menyempurnakan sepakan penalti di penghujung aksi.
Kemenangan itu menyaksikan City kekal di tangga kedua liga dengan 34 mata daripada 16 perlawanan, dua mata di belakang Arsenal, manakala Palace berada di kedudukan kelima dengan 26 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




